Penerimaan terhadap buku audio di Malaysia masih belum mencapai tahap yang memberangsangkan.
Antara faktor utama yang dikenal pasti ialah kekurangan kandungan tempatan.
Hal itu kerana kebanyakan buku audio di pasaran adalah dalam bahasa Inggeris, sekali gus mengehadkan pilihan pendengar yang lebih selesa dengan bahasa Melayu, Cina atau Tamil.
Kekangan lain ialah dari segi kos penerbitan tinggi kerana melibatkan bayaran kepada narator profesional, studio rakaman dan proses penyuntingan yang kompleks.
Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Abang Julai berkata, kekurangan promosi dan kesedaran dalam kalangan masyarakat turut menyumbang kepada masalah itu.
Hal itu kerana ramai masih menganggapnya sebagai produk niche yang hanya sesuai untuk golongan tertentu.
“Penggunaan buku audio masih belum menjadi budaya arus perdana di Malaysia.
“Malah, ia belum diintegrasikan secara menyeluruh dalam sistem pendidikan walaupun berpotensi tinggi dijadikan sebagai alat bantu mengajar yang efektif terutama bagi golongan pelajar dan pendidik,” katanya ketika perasmian buku audio Hikayat Ular Nangkawang baru-baru ini.
Setakat ini DBP telah menerbitkan sebanyak 68 judul buku audio yang boleh diakses menerusi portal JendelaDBP.
Katanya, inisiatif sama turut dilaksanakan Selangor menerusi Projek Nusantara Audiobooks yang menghimpunkan karya-karya sasterawan negara.
Manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) pula melancarkan projek buku audio mesra orang kurang upaya (OKU) penglihatan pada 2018 diikuti Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang menyediakan akses kepada pelbagai judul melalui platform seperti OverDrive dan Me Books.
Ujar Abang Haliman, DBP dan perpustakaan awam kini memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses dan penerimaan terhadap buku audio.
Usaha itu merangkumi aspek digitalisasi koleksi sedia ada, kerjasama dengan platform digital, promosi literasi audio dan pembangunan bakat narator tempatan.
Melalui pelbagai program seperti bengkel, kempen kesedaran dan program bacaan inklusif untuk golongan OKU, warga emas dan pelajar, institusi ini berupaya mendidik masyarakat agar lebih cakna terhadap kelebihan bahan bacaan berasaskan audio.
Hikayat Ular Nangkawang gamit nostalgia filem lama
Hikayat Ular Nangkawang merupakan antara buku audio terbaharu yang diterbitkan DBP.
Keunikan sastera klasik ini terletak pada penceritaannya yang menggamit nostalgia filem Melayu lama.
Pengarangnya, Fathenwan Wan Mohd. Nor berkata, elemen-elemen yang terkandung dalam buku mengingatkan kepada filem Panca Delima dan Bawang Putih Bawang Merah.
“Contohnya, ada watak yang menjadi ular di siang hari manakala manusia di sebelah malam. Persamaan itu membuatkan kita lebih dekat dengan naratifnya.
“Buku audio ini turut disusun dengan penceritaan jelas dan berfasa kerana setiap siri cerita dibahagikan kepada segmen yang mudah diikut di samping elemen bunyi dan lakonan suara yang menghidupkan suasana seperti watak nenek kebayan, puteri serta gambaran peperangan,” katanya.
Fathenwan berkata, proses transliterasi buku audio itu mengambil masa hampir dua tahun menerusi empat siri yang ditampilkan.
Siri itu ialah Sakit itu sementara, Muslihat puteri keenam : Dendam di sebalik senyuman, Pertemuan, persengketaan dan pertarungan serta Air mata di awan, kembali ke pangkuan.
Dalam pada itu, katanya, tidak semua karya sastera sesuai untuk dijadikan buku audio.










