3,000 penduduk Cheka 10 tahun tunggu kemudahan ambulans

10 tahun 3,000 penduduk Cheka tunggu kemudahan ambulans

KLINIK kesihatan yang masih tiada kemudahan ambulans di Kampung Mela di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kira-kira 3,000 penduduk Mukim Cheka 1 dan Cheka 2 memohon kerajaan menyediakan sebuah ambulans di Klinik Kesihatan Mela di sini, untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Lipis.

Rayuan itu dibuat kerana sudah lebih 10 tahun penduduk menunggu khususnya pesakit yang perlu mendapatkan rawatan kecemasan menerusi bantuan ambulans ke Hospital Lipis.

Ekoran ketiadaan kemudahan itu, penduduk mendakwa, pesakit berdepan masalah kerana terpaksa menunggu antara dua hingga lima jam ambulans dari Hospital Lipis setiap kali memerlukan rawatan kecemasan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang penduduk, Mohd. Safri Salleh, 46, berkata, dia terpaksa menggunakan kereta sendiri ketika menghantar arwah ibunya yang diserang penyakit strok enam tahun lalu bagi menjalani rawatan kecemasan di Hospital Lipis.

“Bagi keluarga pesakit yang tidak mempunyai kenderaan, mereka terpaksa menunggu lebih sejam sebelum ketibaan ambulans dari Hospital Lipis, malah pernah ada pesakit tidak sempat menerima rawatan.

“Ketika berdepan kecemasan dan perlukan rawatan segera, ada penduduk yang turut membantu klinik kesihatan me­minjamkan kenderaan pacuan empat roda untuk segera menghantar pesakit yang kritikal ke Hospital Lipis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bekas Ketua Kampung Mela, Mohd. Rosli Ismail, 66, berkata, banyak kes kecemasan perlu segera dirujuk di Hospital Lipis yang mempunyai kelengkapan peralatan rawatan dan doktor pakar, tetapi ketiadaan ambulans di Klinik Kesihatan Mela menyebabkan mangsa bertambah teruk walaupun diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di situ.

“Sebelum ini, ketika saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) kerap kali memohon kemudahan berkenaan ditempatkan di klinik kesihatan kampung, tetapi sehingga ini belum kesampaian dan pesakit tetap berdepan masalah ke hospital di Kuala Lipis sekiranya melibatkan kes berat,” katanya.

Menurutnya, penduduk me­nunggu ambulans baharu bagi menggantikan kenderaan lama sudah lebih 10 tahun sambil berharap kerajaan menyedari kesukaran itu dengan menyediakan kemudahan pengangkutan ke Hospital Lipis.

Seorang lagi penduduk, Idris Sidek, 58, berkata, permohonan sebuah ambulans sudah dilakukan menerusi JPKK Mela sebelum ini malah kerap kali diajukan ketika pemimpin setempat hadir ke kampung tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini