Kuala Kangsar panas terik sejak minggu lalu

Kuala Kangsar panas terik sejak minggu lalu

KEADAAN lengang di bandar Kuala Kangsar. Perak berikutan cuaca panas terik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Duduk dalam rumah pun berpeluh merupakan antara keluhan penduduk di sini akibat cuaca panas berpanjang sejak minggu lalu.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, ada mereka yang terpaksa memasang pendingin hawa sepanjang masa dan ada pula sentiasa dengan kipas meja untuk berasa selesa.

Mohamad Jaafaruddin Ahmad, 37, berkata, cuaca panas ekstrem dan kemarau di Kuala Kangsar bukan sesuatu yang baru, malah sudah lumrah setiap tahun.

“Sangat panas, bahang sampai ke malam. Hendak tidur pun tidak selesa. Pada waktu siang, walaupun ada kalanya keadaan redup tetapi tetap berbahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kuala Kangsar adalah antara enam kawasan di Semenanjung Malaysia diletakkan dalam kategori Tahap 1 atau berjaga-jaga oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, iaitu suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Nurul berkata, kenderaan di jalan raya juga lengang kerana masing-ma­sing cuba mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari.

“Mungkin kerana musim cuti sekolah. Namun apabila cuaca panas, semua orang berfikir dua kali sama ada mahu keluar rumah atau tidak. Mujur sedang bercuti sekolah, jika tidak saya juga akan risau nasib anak-anak,” katanya.

Seorang petani, Mohamad Helmi Muhammad Rozi, 44, melahirkan kebimbangan kesan cuaca panas kerana boleh mendorong kenaikan kos operasi penggunaan air.

“Sudah pasti kos meningkat sebab penggunaan air yang tinggi. Harga sayuran pula sekarang tidak berapa okey kerana banyak saingan,” katanya.

Muis, 39, pula berkata, beliau juga risau terhadap ternakan kambing dan lembunya dan terpaksa memantau serta mengisi bekas air minuman secara kerap untuk keperluan ternakannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×