PETALING JAYA: Keputusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menghentikan penghantaran pelajar tajaan ke Amerika Syarikat (AS) adalah tepat kerana Malaysia tidak boleh bergantung kepada satu negara sebagai destinasi pengajian tinggi pelajar tajaan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM, Prof. Dr. Omar Yaakob berkata, langkah mempelbagaikan destinasi pendidikan luar negara sudah lama dilaksana dan terbukti berkesan dalam membina modal insan negara yang bersaing di peringkat global.
“Pelajar Malaysia bukan hanya tertumpu di AS. Mereka berada di hampir semua negara ASEAN, Jepun, China, Korea Selatan, Australia, New Zealand, India, Pakistan, Bangladesh, Uzbekistan, Sri Lanka, Turki, Timur Tengah, Eropah dan Russia.
“Saya tidak pasti, mungkin hanya Amerika Latin dan Amerika Selatan yang belum banyak kita tembusi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Mara akan menghentikan penghantaran pelajar tajaannya ke universiti-universiti di AS bermula tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia mengambil kira situasi politik dan dasar-dasar semasa AS yang dilihat berubah-ubah yang dibimbangi akan memberi impak kepada para pelajarnya.
Menurut Omar, bilangan pelajar Malaysia di AS kini hanya sekitar 4,000 hingga 5,000 orang, iaitu jauh lebih kecil berbanding lebih 60,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pelbagai negara lain.
Katanya, jumlah itu menurun berbanding tahun 2018 yang mencatatkan lebih 8,000 pelajar menuntut di AS.
“Jadi dari segi kesan jangka panjang kepada pembangunan modal insan, saya tidak nampak sebarang impak besar jika penghantaran ke AS dihentikan. Malah kita sebenarnya telah lama bersedia dengan pelbagai pilihan negara lain,” katanya.
Mengenai kualiti pendidikan, Omar berkata, universiti bertaraf dunia tidak hanya terletak di AS kerana QS World University Rankings 2025 menunjukkan 13 daripada 20 universiti terbaik dunia berada di luar AS.
Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran pula berkata, walaupun tidak dinafikan universiti-universiti di AS termasuk dalam kelompok terbaik dunia, keadaan semasa daripada segi dasar imigresen dan ketegangan politik di negara itu memberi tekanan kepada pelajar asing.
“Keputusan Mara ini mungkin bersifat sementara, bergantung kepada siapa yang memegang kuasa di AS. Namun buat masa ini, adalah lebih selamat untuk menilai semula ke mana pelajar kita harus dihantar,” katanya. – UTUSAN











