Trend bercuti ke Thailand berterusan

Trend bercuti ke Thailand berterusan

SUASANA sesak di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang menjadi pilihan utama pelancong untuk ke Thailand dari Kubang Pasu, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Seperti dijangka, suasana Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini bertukar menjadi lautan manusia sejak cuti sekolah bermula kelmarin apabila ribuan pelancong tidak melepaskan peluang ke Thailand.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pintu masuk sempadan itu mengalami aliran trafik yang sesak bermula pada pukul 6 pagi dan berlarutan sehingga tengah hari.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, kira-kira 22,500 pelancong termasuk bukan warga­negara menggunakan pintu sempadan tersebut untuk ke Thailand sejak Jumaat lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“ICQS Bukit Kayu Hitam sesak sejak Jumaat apabila banyak pelancong memilih awal pagi ketika sempadan dibuka untuk ke Thailand. Aliran keluar me­ngalami sedikit kesesakan dan dijangka meningkat hari ini.

“Bagaimanapun kita mendapati aliran masuk ke Malaysia juga semakin meningkat iaitu sebanyak 10,997 pengembara dalam tempoh dua hari itu termasuk dalam kalangan warga asing,” katanya ketika dihubu­ngi di sini semalam.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Kedah mengambil langkah proaktif dalam menghadapi peningkatan aliran trafik itu termasuk membuka kaunter tambahan di pintu sempadan mengikut keperluan.

“Kaunter kita beroperasi secara menyeluruh pada waktu puncak bagi aliran keluar masuk untuk semua jenis kenderaan termasuk perdagangan dan lima kaunter bagi kereta. Kita nasihatkan semua pelancong mematuhi peraturan ditetapkan dan mempunyai dokumen lengkap bagi kelancaran trafik,” katanya.

Warga tempatan, Zamri Soh, 35, dari Perak, berkata, di sebalik kelesuan perjalanan termasuk menghadapi kesesakan, pengembaraan tersebut menghiburkan mereka sekeluarga.

“Memanglah penat kerana berjam-jam untuk lepas sempadan sebab orang ramai tetapi berbaloilah kerana seronok dapat melancong ke luar negara. Kami cadang menetap selama tiga hari sempena cuti sekolah dan Agong esok (hari ini).

“Bagi golongan B40 seperti kami, rasanya melancong ke Hatyai ini lebih murah sebab makan dan hotel masih berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu pelancong dari Singapura, Nadiah Rahmat, 30, dia bersama lapan rakannya menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi untuk ke Hatyai.

“Kami masuk ke Malaysia Jumaat lepas dan berhenti beberapa tempat untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand hari ini. Lebih puas untuk bermotosikal kerana dapat menikmati keindahan sepanjang perjalanan,” katanya.

Fenomena melancong ke Thailand semakin popular selepas pandemik Covid-19 berikutan kos lebih murah dan akses yang mudah ke Dannok, Hatyai dan Krabi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini