Bapa bersyukur dua anak selamat dalam kebakaran

Bapa bersyukur dua anak selamat dalam kebakaran

MOHD. Zulkifli Abd. Azis memangku dua beradik yang diselamatkan bersama rakan setugasnya dalam kebakaran di Taman Sri Kota, Kuala Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: “Kami nampak mereka berdua berpelukan kaku. Menangis pun tak.”

Demikian detik cemas yang dikongsikan seorang pegawai bomba ketika menyelamatkan dua beradik yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Sri Kota di sini semalam.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd. Zulkifli Abd. Azis berkata, api marak dengan pantas dalam kejadian itu sebelum beliau dan seorang rakan setugasnya berjaya membawa kanak-kanak itu keluar dari rumah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kedua-dua mangsa, seorang budak perempuan berusia empat tahun dan adik lelakinya berusia tiga tahun ketika itu berada di sebuah bilik di tingkat atas. Saya dan seorang rakan naik ke atas apabila diberitahu ada mangsa terperangkap setelah mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) bomba.

“Mangsa ketika itu hanya diam seolah terpegun. Apabila kami tiba, si kakak baru buka mulut dan berkata, bomba sudah sampai. Seolah-olah lega. Alhamdulillah dua-dua selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.16 pagi sebelum menggerakkan anggotanya ke lokasi.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres berkembar dua tingkat dengan anggaran kemusnahan 70 peratus. Kebakaran juga melibatkan sebuah kereta jenis Proton dan lapan motosikal.

“Kedua-dua mangsa yang terperangkap itu berjaya diselamatkan dan operasi tamat pada pukul 12.16 tengah hari,” katanya.

Sementara itu menurut bapa kepada dua beradik itu, Mohd. Nazmi Mohd. Hanifa, 30, dia dan isteri, Siti Nordiana Yusof, 23, bersyukur kedua-dua anaknya berjaya diselamatkan dalam kejadian itu.

“Ketika kejadian saya keluar bekerja. Alhamdulillah anak-anak saya selamat walaupun berderau darah apabila menerima panggilan daripada isteri tentang kejadian. Kereta dan motosikal pe­langgan musnah dalam kejadian. Kami tinggal sehelai sepinggang kini.

“Banyak yang musnah terma­suk kuih raya yang dijual oleh isteri tetapi tidak mengapa janji anak-anak selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini