KULIM: Kebanyakan penduduk di kawasan penularan Covid-19 bagi Kluster Tawar di Sungai Karangan di sini mengambil langkah selamat dengan melaksanakan sendiri ‘lockdown’ bersama keluarga walaupun tiada arahan berbuat demikian dikeluarkan kerajaan
Mereka mengambil keputusan untuk ‘tutup pintu’ rumah kerana bimbang dengan penularan wabak.
Malah mereka tidak berani menghantar anak-anak mereka ke sekolah sejak Isnin lalu selepas seorang guru dan tiga pelajar di sebuah sekolah di sini disahkan positif Kluster Tawar.
Seorang penduduk, Mohd. Azeman Omar berkata, penduduk mengambil inisiatif sendiri tidak keluar dari rumah untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga.
“Saya sendiri juga tidak benarkan anak saya di tingkatan satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Karangan dan seorang lagi di tahun enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karangan ke sekolah sejak beberapa hari lalu,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga Presiden Himpunan Anak Kedah Malaysia (Hakem) berkata, penduduk di sini berharap pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membuat permohonan kepada Pejabat Pendidikan Negeri untuk meminta Kementerian Kesihatan mengeluarkan arah semua sekolah di Sungai Karangan ditutup.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Azlan Mat Desa berkata, dia juga takut untuk keluar rumah termasuk ke kedai untuk membeli barangan keperluan harian.
Katanya, pada masa ini, dia hanya keluar sekiranya mempunyai urusan penting yang tidak dapat dielakkan sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan virus tersebut tidak kelihatan dan sukar dikesan.
“Langkah paling selamat adalah tinggal dalam rumah buat sementara waktu ini sehingga penularan Covid-19 disahkan berakhir,” katanya. – UTUSAN










