Kaum India terus warnai sastera kebangsaan

Kaum India terus warnai sastera kebangsaan

KOLEKSI antologi Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAPA masih belum ramai kaum India terlibat dalam bidang penulisan sastera kebangsaan?

Demikian antara persoalan yang sempat dibincangkan dalam sesi Kavya Sastra: Penulis Kaum India dan Sastera Kebangsaan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Pavilion Selangor pada 28 Mei lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

Bekas pengacara radio IKIMfm, Luqman Hakim Abd. Malik yang menjadi pemudah cara turut melahirkan minat untuk mengetahui kedudukan sebenar sewaktu kami membicarakan buku Kavya Sastra (2021).

Pada hakikatnya, majoriti penulis kaum India di Malaysia terlibat dalam penulisan karya bahasa Tamil, diikuti bahasa Inggeris. Hanya sekelompok kecil terlibat dalam sastera kebangsaan iaitu karya bahasa kebangsaan.

Apabila menghuraikan pertanyaan tadi berdasarkan hasil kajian ilmiah yang dijadikan disertasi sarjana sastera sebelum diterbitkan dalam bentuk buku, saya menyedari semacam kepincangan dalam usaha melahirkan penulis kaum India dalam sastera kebangsaan.

Matlamat penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagaimana termaktub dalam Akta DBP termasuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan.

Timbul pertanyaan sama ada DBP benar-benar melaksanakan tugas dan tanggungjawab membimbing serta melahirkan penulis sastera kebangsaan dalam kalangan kaum India.

Saya berpeluang menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP pada 1991. Ada beberapa orang dipilih menjadi peserta sebelum dan selepas itu tetapi timbul persoalan sama ada mereka masih menulis.

DBP juga menerbitkan sekurang-kurangnya 10 majalah bulanan yang menyediakan ruangan cerpen. 

Sewaktu membuat kajian bagi disertasi sarjana, saya meneliti kesemua majalah DBP sejak keluaran pertama. Majalah Dewan Siswa misalnya terbit sejak Januari 1979 iaitu sewaku saya baru melangkah ke Darjah 1 (Tahun 1). Hampir 15 tahun kemudian, iaitu pada Jun 1993, sebuah cerpen saya disiarkan di majalah itu.

Rupa-rupanya, itulah kali pertama cerpen oleh penulis kaum India disiarkan di majalah berkenaan. Seolah-olah DBP tidak pernah cuba mengasah penulis India yang mampu menghasilkan cerpen bermutu.

 

SALAH SIAPA?

Saya mengambil contoh majalah DBP kerana sering dilihat sebagai terbitan paling berprestij dan boleh dibanggakan. Malangnya, kita dapat melihat dua situasi yang menyedihkan.

Pertama, DBP seolah-olah tidak berusaha melahirkan penulis kaum India walaupun termaktub dalam matlamat penubuhan. Kedua, penulis kaum India sendiri tidak berminat mengirim karya ke majalah DBP.

Cerpen kedua saya di majalah Dewan Siswa disiarkan pada Mac 1995. Sementara cerpen oleh M. Mahendran tersiar pada November 1999, Saroja Theavy Balakrishnan (Julai 2002 dan April 2010), manakala cerpen S. G. Prabhawathy (2003).

Majalah berkenaan turut menyiarkan cerpen saya dalam keluaran April 2003, Mei 2004, Februari 2006, Mac 2007 dan Oktober 2012. Perlu dinyatakan karya saya turut mendapat tempat di Dewan Pelajar, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Pelita Bahasa dan Dewan Kosmik.

Tentulah saya seorang tidak boleh dianggap mewakili keseluruhan kelompok penulis kaum India dalam sastera kebangsaan. Hakikat ini membawa kita kembali kepada persoalan, siapa yang sepatutnya mengasah bakat penulis kaum India.

Kita wajar meneliti cerpen para penulis kaum India di kesemua majalah terbitan DBP sejak sedekad lalu supaya tidak dianggap membuat tuduhan melulu dan tidak berasas.

Dari 2015 hingga 2018, dalam kesemua majalah DBP, hanya sebuah cerpen penulis kaum India tersiar setiap tahun. Cerpen saya di Dewan Sastera (Mei 2015 dan Oktober 2017), Saroja Theavy (Dewan Sastera, April 2016) dan Elavarassan Suppiah (Tunas Cipta, Februari 2018).

 

INISIATIF

Pada penghujung 2018, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) mengambil inisiatif mengendalikan bengkel penulisan secara intensif. Walaupun penyertaan dibuka kepada semua kaum, impian kami ialah melahirkan lebih ramai penulis kaum India yang mampu menghasilkan cerpen bermutu.

Kesan daripada usaha itu, semakin banyak cerpen penulis kaum India mula tersiar di majalah DBP.

Misalnya, pada 2019, dua cerpen saya tersiar di Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera, serta masing-masing sebuah cerpen Mahendran dan Saroja Theavy di Dewan Sastera.

Kesan positif siri bengkel anjuran Kavyan terus terasa pada 2020 apabila dua cerpen saya tersiar iaitu di Dewan Pelajar dan Dewan Sastera, cerpen Ezhilarasi Velautham (Dewan Siswa) dan cerpen Mahendran (Dewan Sastera).

Momentum dan minat penulis kaum India mengirim karya ke majalah DBP merudum selepas itu, bukan akibat penularan Covid-19 tetapi susulan keputusan DBP pada April 2021 tidak membenarkan penulis kaum India menggunakan ‘Tuhan’ dalam karya.

Maka, selepas sebuah cerpen disiarkan di Dewan Siswa pada Januari 2021, saya memutuskan tidak lagi mengirim apa-apa karya ke DBP. Namun begitu, saya dan Kavyan tidak menghalang penulis lain berbuat demikian.

Misalnya, cerpen Velu Perumal disiarkan di Dewan Budaya pada April 2022. Sementara cerpen Maartandan Suppiah mendapat tempat di Tunas Cipta pada November 2022 dan April 2023.

Vanita Thurairasu pula mengirim cerpen untuk siaran Dewan Budaya, keluaran Julai 2024 dan Januari 2025. Selepas itu, tiada cerpen penulis kaum India sehingga Jun 2025.

Apakah situasi ketandusan cerpen penulis kaum India di majalah DBP bermakna kelompok ini tidak menulis selepas April 2021? Tidak juga kerana karya penulis seperti Anuradha Chelliah, Mahendran, Jaymani Sevanathan, Murali Mohan, Malini Lakshmi Bai dan saya sendiri masih disiarkan di portal dalam talian seperti Cukaria, Eksentrika dan Sastera Kavyan.

Walaupun DBP gagal mengasah bakat dan sebaliknya menghalang penulis kaum India menggunakan ‘Tuhan’ dalam karya, kelompok minoriti ini tetap aktif mewarnai peta sastera kebangsaan.

Antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024) terbitan Kavyan menjadi bukti.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×