‘Jangan ada PKP 4.0’ - Utusan Malaysia

‘Jangan ada PKP 4.0’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menjadi PKP yang terakhir dan berjaya melandaikan graf penularan wabak Covid-19.

Bercakap dengan Mingguan Malaysia, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia Negeri Kelantan, Muhammad Nor Muhamad berkata, pihaknya memahami keperluan untuk melaksanakan PKP dan juga larangan menggesa merentas negeri.

“Tetapi saya mahu kerajaan serius dalam usaha ini. Jika nak tutup, tutup semua dan pastikan kes turun seperti yang kita pernah lalui dulu.

“Jangan ada PKP 4.0 pula selepas ini, saya yakin banyak lagi hotel akan ‘terkorban’. Untuk sekarang kami terpaksa menjual bangunan dan aset sebagai bahan terpakai hanya kerana kami tidak mahu hotel ditutup selamanya,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Muhammad Nor, kerajaan harus memperhalusi usaha berkaitan iaitu dengan mengenal pasti sektor dan aktiviti yang sebenarnya membawa kewujudan kluster baharu.

“Kita dengar wujudnya kluster baharu daripada sektor pembinaan dan aktiviti kenduri, jika ia tidak dihentikan sekarang buat sementara waktu, jadi sampai bila kita perlu tunggu untuk bebas daripada Covid-19.

“Memang kerajaan tak tutup operasi perhotelan tetapi dengan sekatan merentas daerah, adakah penduduk setempat mahu menginap di hotel kami sedangkan rumah mereka juga di sini? Maka, mahu atau tidak kami tetap perlu tutup operasi untuk kurangkan kos malah pekerja juga terpaksa dicutikan tanpa gaji,” katanya.

Dengan nada sama, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng berkata perniagaan hotel-hotel terkesan kerana hanya dapat menerima pelanggan daripada kawasan ataupun dalam negeri sahaja.

“Semasa tempoh PKPB dan PKPP, hotel-hotel hanya mampu bertahan pada tahap minimum sahaja kerana larangan rentas negeri,” katanya.

Lip Seng menjelaskan, hotel pada masa ini perlu membuat perancangan dan persediaan awal sekiranya PKP dilanjutkan termasuk kemungkinan terpaksa tutup sementara sehingga situasi stabil, dan juga pengurusan kos operasi yang lebih ketat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×