Bahasa cerminan keperibadian kita

Bahasa cerminan keperibadian kita

KESANTUNAN dalam berbahasa bukan sekadar soal adat atau tradisi tetapi keperluan dalam membina masyarakat yang harmoni, hormat-menghormati dan beradab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA merupakan alat komunikasi yang bukan sekadar menyampaikan maklumat, malah menjadi cerminan budi pekerti dan budaya sesebuah masyarakat.

Dalam konteks Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum serta latar belakang, kesantunan dalam berbahasa menjadi elemen penting dalam mengekalkan keharmonian sosial dan interaksi yang harmoni. Namun, dengan perkembangan media sosial, perubahan generasi serta kepesatan teknologi mewujudkan pelbagai cabaran terhadap amalan bertutur secara santun dan beradab.

Baru-baru ini tular di media sosial insiden yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen apabila seorang pelanggan meminta pekerja premis makanan memanggilnya ‘puan’ atau ‘akak’ dan bukannya ‘makcik’.

Tindakan ini menimbulkan pelbagai reaksi, ada yang menyokong kerana menganggap gelaran itu sebagai kurang santun manakala yang lain pula menganggap ia adalah isu kecil dan tidak perlu diperbesar. Namun, insiden ini membuka ruang penting untuk menilai semula bagaimana penggunaan bahasa dalam interaksi harian.

Dalam ilmu pengkajian bahasa, terdapat cabang yang membahaskan secara khusus kesantunan berbahasa iaitu pragmatik. Cabang ini mengkaji kesan bahasa yang digunakan terhadap pendengar.

Perkara ini melibatkan bagaimana memilih kata-kata berdasarkan dengan siapa kita bercakap, di mana dan tujuan. Misalnya, pekerja di kaunter makanan ingin memanggil seorang pelanggan wanita. Jika anda berkata, “Makcik nak bungkus ke makan sini?”, ada yang mungkin tidak kisah, tetapi ada juga yang berasa tersinggung.

Hal ini kerana walaupun panggilan ‘makcik’ adalah biasa dalam budaya kita tetapi ia boleh dianggap kasar atau menyindir umur seseorang terutamanya jika mereka masih muda atau rasa dirinya belum layak untuk digelar sedemikan.

Jadi, isu ini bukan soal salah atau betul semata-mata, tetapi bagaimana kata-kata boleh ditafsirkan secara berbeza oleh orang lain, bergantung pada umur, latar belakang atau cara melihat diri mereka. Perkara-perkara inilah yang menjadi perhatian ilmu pragmatik.

Dalam budaya Melayu, penggunaan bahasa yang santun bukan sekadar bentuk komunikasi tetapi menjadi lambang penghormatan terhadap individu berdasarkan umur, status sosial dan situasi.

Gelaran seperti puan, encik, tuan, kakak, abang, dan makcik bukan sahaja menggambarkan panggilan, malah membawa makna tersirat berkaitan status dan hubungan sosial. Maka, tersilap dalam menggunakan panggilan-panggilan ini boleh dianggap sebagai bentuk ketidaksantunan atau penghinaan, meskipun tidak disengajakan.

 

KRISIS KESANTUNAN DI ERA DIGITAL

Kita hidup dalam era yang menyaksikan komunikasi berlaku secara pantas dan tidak lagi terbatas kepada pertemuan fizikal. Media sosial, mesej ringkas dan aplikasi pesanan mengubah gaya komunikasi manusia.

Dalam dunia digital, ramai yang semakin kurang peka terhadap kesantunan bahasa. Komentar sinis, kata-kata kasar dan penghinaan sering dilontarkan tanpa berfikir panjang. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila sikap ini terbawa-bawa ke dalam dunia nyata, terutamanya dalam interaksi antara pelanggan dengan penyedia perkhidmatan.

Kesantunan bukan sesuatu yang datang secara semula jadi. Gaya bahasa ini perlu dipupuk melalui pendidikan dan contoh teladan sejak kecil.

Di rumah, ibu bapa harus menunjukkan dan mengajar anak-anak cara bertutur dengan santun, menghormati orang lebih tua dan menggunakan gelaran yang sesuai.

Di sekolah, guru perlu menekankan aspek adab dan nilai murni dalam pengajaran bahasa. Dalam masyarakat, pemimpin, tokoh masyarakat dan selebriti wajar menunjukkan teladan yang baik melalui penggunaan bahasa berhemah.

Pihak majikan juga memainkan peranan besar dalam membentuk budaya kerja yang menghormati pelanggan dan pekerja. Latihan komunikasi, termasuk aspek kesantunan berbahasa, wajar diberi kepada semua staf barisan hadapan. Ini bukan sahaja meningkatkan imej syarikat, malah mengelakkan insiden yang boleh mencetuskan krisis reputasi di media sosial.

 

MENANGANI ISU SECARA BIJAKSANA

Masyarakat perlu melihat isu ini sebagai ruang untuk berbincang secara matang tentang pentingnya menjaga adab dan kesantunan dalam komunikasi seharian. Media dan netizen harus mengelak daripada menyebarkan naratif yang memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya menekankan penyelesaian dan nilai-nilai murni.

Kesantunan dalam berbahasa bukan sekadar soal adat atau tradisi tetapi keperluan dalam membina masyarakat yang harmoni, hormat-menghormati dan beradab.

Apabila menjaga pertuturan, kita sebenarnya memelihara maruah diri, institusi dan negara.

Dalam dunia yang semakin celaru dengan pelbagai cabaran sosial dan budaya, marilah kita menjadikan bahasa yang santun dan penuh adab sebagai landasan komunikasi, bukan hanya kerana ingin ‘nampak baik’, tetapi kerana ia mencerminkan siapa diri kita sebenarnya.-UTUSAN

 

DR. Syazwan Naim Ibrahim ialah Pensyarah di Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-Bahasa Timur Tengah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×