Sistem e-penempatan masih belum dibuka

Sistem e-penempatan masih belum dibuka

Laporan Utusan Malaysia, 16 Mei 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak meluahkan kebimbangan apabila sistem e-penempatan melibatkan 2,245 pegawai perubatan yang tertangguh sejak 27 Februari lalu masih belum dibuka.

Jurucakapnya berkata, ke­ada­an itu amat membimbangkan kerana tarikh akhir yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sudah semakin hampir.

Katanya, kelewatan dalam pembukaan sistem e-penempatan bukan sahaja memberi tekanan kepada pegawai perubatan terbabit, malah turut menjejaskan perancangan kerjaya dan kehidupan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini masih belum dibuka. Kami difahamkan sistem e-penempatan akan dibuka selewat-lewatnya akhir Mei, namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut.

“Kami berharap agar tiada lagi penangguhan seperti yang sudah berlaku sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan, pembukaan semula sistem e-penempatan melibatkan 2,245 pegawai perubatan Gred UD10 yang tertangguh sejak Februari lalu di­jangka dibuka semula selewat-lewat­nya akhir Mei ini selepas bebe­rapa kali tertangguh.

Gangguan teknikal itu menyebabkan ke­silapan dalam pemilihan pe­nempatan 2,245 Pegawai Peru­batan Gred UD10, sekali gus menjejaskan agihan yang boleh ditetapkan dalam sistem e-pe­nempatan.

Beliau berkata, kelewatan pembukaan sistem e-penempatan berisiko menjejaskan proses pelantikan pegawai kontrak ke jawatan tetap yang sedang dilaksanakan.

“Jika e-penempatan terus dilengahkan, ia boleh mengganggu keseluruhan proses peralihan daripada jawatan kontrak ke tetap. Ini isu yang serius dan memerlukan tindakan segera daripada pihak KKM,” ujarnya.

Pada 16 Mac lalu, pegawai pe­rubatan dimaklumkan proses e-penempatan dibatalkan sekali lagi pada saat akhir tanpa sebarang penjelasan lanjut daripada KKM.

Pembatalan itu disampaikan melalui e-mel, hanya sehari sebelum sistem dijadualkan di­buka semula pada Isnin, 17 Mac lalu dan semalam masih gagal diakses.

Malah, terdapat gesaan agar KKM memberikan penjelasan berhubung kelewatan tersebut yang menyebabkan ramai pegawai perubatan dalam keadaan tidak pasti mengenai penempatan mereka.

Masalah teknikal kali ketiga itu telah menganiaya kumpulan doktor kontrak yang sepatutnya menerima lantikan tetap dijadualkan pada 25 Mac lalu.

Kegagalan kelancaran pro­ses pengisian sistem e-penempatan itu juga menyusahkan banyak pihak termasuk mengganggu operasi fasiliti kesihatan awam khususnya membabitkan klinik dan hospital kerajaan luar bandar yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini