OSAKA, Jepun: Malaysia perlu melobi untuk menganjurkan World Expo bagi menarik lebih ramai kehadiran pelabur dan pelancong ke negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun penganjuran expo antarabangsa itu menelan kos tinggi, namun ia perlu melihat daripada segi manfaat besar kepada negara.
Katanya, pada setiap edisi penganjuran World Expo di negara terpilih telah memberikan banyak limpahan ekonomi di samping memberi peluang mereka meningkatkan kemudahan infrastruktur.
“Walaupun belanja sehingga ratusan juta tetapi nampak (World Osaka Expo 2025) sambutan cukup baik.
“Ia boleh tarik para pelabur datang ke Malaysia. Ya (wajarlah) kita menganjurkan acara seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Pavilion Malaysia di Osaka Japan World Expo 2025, di sini semalam.
Terdahulu, Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali meluangkan masa selama satu jam untuk melihat pameran dan menyaksikan persembahan tradisional di Pavilion Malaysia.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, Malaysia berkemampuan menarik lebih ramai pelaburan jika mengambil peluang mengadakan World Expo yang berlangsung pada setiap lima tahun.
Katanya, banyak negara telah bersaing untuk menyertai acara seumpama itu, namun sudah masanya Malaysia wajar merebut peluang menganjurkan pameran prestij tersebut.
“Ia boleh menarik pelancong datang ke Malaysia dan boleh memperkenalkan negara kepada dunia,” katanya.
World Expo merupakan sebuah acara pameran antarabangsa berskala besar yang dianjurkan Bureau International des Expositions (BIE).
Acara ini diadakan setiap lima tahun sekali yang bertujuan untuk mempersembahkan pencapaian teknologi, seni bina, budaya, dan inovasi dari negara di seluruh dunia.
World Expo kini berlangsung di Osaka, Jepun manakala Riyadh, Arab Saudi telah dipilih sebagai tuan rumah edisi 2030 manakala sebelum ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Untuk menganjurkan World Expo, setiap negara perlu permohonan rasmi dan mereka terpilih berdasarkan undian.-UTUSAN











