MICROSOFT baru-baru ini mengumumkan langkah memberhentikan kira-kira 6,000 pekerja iaitu bersamaan dengan tiga peratus daripada tenaga kerjanya, atas alasan penyusunan semula dan pelaburan dalam teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Microsoft bukan satu-satunya syarikat yang membuat keputusan drastik ini. Google, Amazon, Meta dan lain-lain juga mengambil langkah serupa sejak 2023.
Trend ini memberi gambaran jelas penggunaan teknologi automasi, AI generatif dan robotik semakin menjadi pilihan utama syarikat besar dalam mengurus operasi, sekali gus menggantikan banyak kerja rutin yang sebelum ini dijalankan oleh manusia.
Apa yang berlaku di Silicon Valley bukan sekadar isu luar negara. Ia memberi bayangan awal terhadap cabaran besar yang akan dan sedang melanda negara kita.
PEKERJAAN TRADISIONAL SEMAKIN TERANCAM
Di Malaysia, sudah semakin banyak syarikat tempatan, termasuk institusi kewangan, pusat khidmat pelanggan dan perniagaan runcit, sudah mula menggunakan sistem chatbot, kios layan diri dan perisian automasi pejabat.
Proses yang dulunya memerlukan tenaga manusia seperti pengendalian borang, pengurusan gaji dan sokongan pelanggan kini boleh dilakukan sepenuhnya oleh AI atau mesin.
Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebelum ini menganggarkan hampir 85 juta pekerjaan di seluruh dunia berisiko hilang akibat automasi menjelang 2025, walaupun diimbangi oleh kewujudan 97 juta pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran berbeza. Namun, persoalannya adakah pekerja hari ini bersedia beralih arah?
Di Malaysia, ramai pekerja masih belum mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam ekonomi berasaskan digital dan AI. Pendidikan tinggi masih terlalu teori, manakala latihan kemahiran tidak sejajar dengan realiti industri.
Lebih membimbangkan, ramai majikan tempatan masih kurang memberi peluang latihan semula atau peningkatan kemahiran kepada staf mereka.
MALAYSIA PERLU BERTINDAK CEPAT
Gelombang automasi ini tidak dapat dielakkan. Namun begitu, Malaysia masih mempunyai peluang untuk mengambil pendekatan proaktif dalam meminimumkan kesan buruknya terhadap pasaran pekerjaan.
Latihan semula dan peningkatan kemahiran perlu dijadikan agenda nasional yang berterusan, bukan sekadar kempen berkala. Pekerja daripada pelbagai sektor mesti diberi peluang untuk mempelajari kemahiran baharu yang relevan seperti pengurusan data, asas AI, pembangunan perisian dan komunikasi digital.
Pada masa sama, institusi pendidikan tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu lebih inovatif dan responsif terhadap kehendak pasaran kerja semasa.
Kurikulum fleksibel, modular dan bersifat praktikal harus diberi keutamaan berbanding pendekatan pengajian yang terlalu akademik.
Dalam hal ini, majikan juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif. Mereka tidak seharusnya hanya bergantung kepada automasi untuk menjimatkan kos tetapi juga perlu melabur dalam pembangunan pekerja sedia ada.
Syarikat yang bijak membina masa hadapan tenaga kerjanya, bukan sekadar menggantikan pekerja dengan mesin.
Selain itu, dasar perlindungan sosial negara perlu dikaji semula. Sekiranya pekerjaan semakin tidak menentu akibat automasi dan gangguan teknologi, jaring keselamatan seperti perlindungan pekerjaan, insurans kehilangan kerja dan skim sokongan pendapatan mesti diperkukuh agar rakyat tidak terus terdedah kepada risiko ekonomi secara mendadak.
NILAI MANUSIA TAK BOLEH DITIRU AI
Teknologi tidak salah. Automasi dan AI memang membawa manfaat, ia dapat mempercepat proses, menjimatkan kos dan meningkatkan kecekapan. Namun, tanpa pelan tindakan yang jelas, ia boleh menimbulkan ketidaksamaan baharu dalam masyarakat, meningkatkan jurang antara mereka yang celik digital dengan yang tertinggal.
Tenaga kerja masa hadapan bukan sahaja perlu celik teknologi tetapi juga fleksibel, cepat menyesuaikan diri dan sentiasa belajar semula.
Pekerjaan manual mungkin berkurang tetapi pekerjaan berasaskan pemikiran kritis, kreativiti dan hubungan manusia akan terus relevan.
Malaysia tidak harus menunggu sehingga lebih ramai hilang kerja seperti yang berlaku di Microsoft. Kita masih ada ruang untuk bersedia tetapi tetingkap masa itu semakin sempit.-UTUSAN
DR. Siti Aishah Hussin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Open University Malaysia.










