PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan tidak ada halangan terhadap usaha Kerajaan Negeri Sarawak untuk melaksanakan pendidikan tinggi percuma kerana mereka mempunyai keupayaan berbuat demikian.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ini kerana Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan peringkat rendah mahu pun peringkat pendidikan tinggi.
“Mungkin pihak Kerajaan Negeri Sarawak mudah sahaja (laksana pendidikan tinggi percuma) kerana dia ada duit, dia nak laksanakan untuk anak-anak Sarawak, saya fikir tak perlu ada (sebarang) kajian, melainkan ada hal-hal yang berkaitan dengan perlembagaan dan sebagainya.
“Kerajaan Sarawak ingin memberikan bantuan kepada anak negerinya, jadi saya fikir bukan lah suatu perkara yang rumit,” katanya kepada pemberita selepas Program Kepimpinan Muda Kebangsaan Karisma: Pemikir Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam.
Kabinet Sarawak sebelum ini dilaporkan meluluskan kertas cadangan bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang akan bermula pada 2026 dan terbuka kepada rakyat Sarawak.
Institusi yang terlibat adalah institusi pengajian tinggi milik Sarawak iaitu Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University of Malaysia, University Technology of Sarawak dan i-CATS University College.
Program yang diluluskan di bawah FTES merangkumi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Undang-Undang, Perubatan, Perakaunan dan Kewangan. – UTUSAN











