Perpecahan dalaman hanya akan melemahkan parti politik Melayu

Perpecahan dalaman hanya akan melemahkan parti politik Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH politik negara membuktikan berkali-kali bahawa perpecahan dalaman parti merupakan punca utama kekalahan dalam pilihan raya, terutamanya dalam kalangan parti-parti yang berasaskan orang Melayu.

UMNO: DOMINASI YANG TIDAK KEKAL
UMNO memainkan peranan utama dalam mencapai kemerdekaan negara dan membentuk kerajaan sejak 1957. Namun, dari awal sejarahnya, UMNO sudah menunjukkan tanda-tanda perbezaan dalaman yang tidak diurus dengan baik.

Pada 1951, pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar keluar daripada parti selepas cadangannya untuk membuka keahlian kepada bukan Melayu ditolak.

Beliau menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan kemudian Parti Negara. Walaupun tidak berjaya menggugat UMNO secara signifikan, langkah ini membuka lembaran baharu untuk membentuk parti baharu apabila berlaku ketidaksetujuan dalaman sebagai jalan keluar.

Lebih dramatik ketika krisis pada 1988 antara pasukan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Akibat pertembungan ini, UMNO diharamkan dan tertubuhnya UMNO baharu.

Manakala Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46, yang kemudiannya menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama Pas dan parti-parti lain. Hasilnya, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1990, UMNO kehilangan Kelantan dan tidak pernah berjaya menawan semula negeri itu secara konsisten hingga kini.

 

PAS & AMANAH
Pas pula mengalami perpecahan besar selepas Muktamar 2015 apabila kumpulan progresif, termasuk beberapa tokoh kanan seperti Datuk Seri Mohamad Sabu dan Khalid Abdul Samad, diketepikan arus konservatif dalam parti.

Mereka akhirnya menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah). Meskipun Amanah mendapat sokongan di kawasan bandar, ia turut menyebabkan perpecahan undi dalam kalangan pengundi Islam dan Melayu. Ironinya, perpecahan ini berlaku ketika pembangkang memerlukan kesatuan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Walaupun Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU14 tetapi kehadiran terlalu banyak parti serpihan menyulitkan penyusunan strategi politik jangka panjang. Pas terus mengukuhkan kedudukannya di Pantai Timur, manakala Amanah sukar menembusi kawasan luar bandar.

 

BERSATU
Tokoh-tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr. Mahathir yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Melalui kerjasama dengan PH, parti ini memainkan peranan penting dalam kemenangan mengejut pada PRU14. Namun, perpecahan ini juga membawa implikasi jangka panjang. Bersatu yang asalnya dilihat sebagai penyatu suara orang Melayu dalam pembangkang berpecah lagi apabila Dr. Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas krisis dalaman. Dalam PRU15, parti-parti serpihan ini gagal meraih sokongan signifikan tetapi kewujudan mereka tetap memberi impak kepada pecahan undi dan kekeliruan dalam kalangan pengundi Melayu.

PKR
Parti ini lahir daripada semangat reformasi pada 1999, namun tidak terlepas daripada episod perpecahan dalaman. Krisis antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membawa kepada Langkah Sheraton, yang menjatuhkan kerajaan PH pada awal 2020.

Ramai pemimpin dan ahli Parlimen keluar PKR, menyertai kem kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sejak itu, PKR menghadapi cabaran besar dalam memulihkan semula keyakinan rakyat.

Menjelang PRU akan datang, isu ketegangan antara tokoh seperti Nurul Izzah Anwar dan datuk Seri Rafizi Ramli mula menjadi perhatian umum. Walaupun belum membarah, persepsi tentang potensi perpecahan dalaman ini perlu ditangani dengan bijak. Jika tidak, PKR mungkin mengulangi kesilapan lampau.

KECENDERUNGAN MELAYU BERPECAH
Satu perkara yang semakin jelas ialah kecenderungan parti-parti Melayu untuk berpecah dan menubuhkan entiti baharu. Selain UMNO, Pas dan PKR, kita juga menyaksikan kemunculan pelbagai parti kecil yang lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap parti induk:

• Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA): Dari kelompok muda progresif, diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
• Pejuang: Dari kem Dr. Mahathir, selepas keluar Bersatu.
• Parti Berjasa Malaysia (Berjasa): Lahir daripada krisis Pas Kelantan pada 1977.

Namun, majoriti parti-parti ini tidak berjaya menjadi kuasa politik besar. Sebaliknya, hanya menyumbang lagi pecahan undi Melayu, terutamanya dalam pilihan raya yang menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.

Dalam konteks sistem pilihan raya majoriti mudah, pecahan undi memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Apa yang menarik, trend ini jarang berlaku dalam kalangan parti bukan Melayu. DAP, walaupun mengalami pelbagai cabaran sejak zaman Lim Kit Siang sehingga kini, tidak pernah mengalami perpecahan besar yang melahirkan parti serpihan. MCA, MIC dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) juga menunjukkan disiplin dalaman yang lebih stabil, walaupun dari segi populariti, mereka semakin terpinggir.

Ini menunjukkan budaya politik Melayu lebih terdedah kepada konflik peribadi dan pertentangan fraksi berbanding parti bukan Melayu yang cenderung mengutamakan kelangsungan kolektif.

BELAJAR DARIPADA SEJARAH
Jika mengambil iktibar daripada sejarah, jelas setiap kali berlaku perpecahan dalam parti Melayu akan menyebabkan kehilangan kuasa atau melemahkan kekuatan blok politik yang sedia ada.

Dalam hal ini, PKR sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan harus bertindak segera mengurus persepsi dakwaan terdapat keretakan dalaman.

Perbezaan pandangan dalam parti adalah normal, bahkan sihat dalam demokrasi. Namun, perbezaan itu perlu diurus secara matang dan berhemah.

Kepimpinan parti perlu mengukuhkan disiplin organisasi, memperkukuh komunikasi dalaman, dan menekankan nilai kesetiaan kepada perjuangan bersama. Langkah ini penting untuk mengurangkan risiko perpecahan parti yang terbukti menjadi punca utama kekalahan parti-parti terdahulu.

Kekuatan sesebuah parti tidak hanya terletak pada tokoh yang memimpinnya, tetapi pada keutuhan sistem, kejelasan hala tuju dan kesatuan dalam kepelbagaian. Politik yang berteraskan prinsip, bukan personaliti, adalah kunci untuk membina masa hadapan yang lebih stabil.

 

JANGAN ULANGI DOSA LAMA
Sejarah memberi amaran, setiap kali parti Melayu berpecah, pihak lawan mengambil kesempatan. Setiap kali lahir parti baharu, kekuatan undi Melayu semakin bercelaru. Setiap kali pemimpin lebih mementingkan ego daripada perpaduan sementara rakyat yang menanggung akibat.

Sudah tiba masanya semua parti merenung kembali keutamaan perjuangan. Jika benar ingin memperjuangkan nasib bangsa dan negara, maka keutuhan dan perpaduan dalaman perlu menjadi asas utama.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×