Wei Chong-Kai Wun tamatkan badi 'bungkus awal'

Wei Chong-Kai Wun tamatkan badi ‘bungkus awal’

Man Wei Chong-Tee Kai Wun bersama naib juara Malaysia Masters, Aaron Chia- Soh Wooi Yik di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/ ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam, beregu lelaki No. 8 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencari rentak yang lebih konsisten dan tidak rela lagi berdepan dengan prestasi yang turun, naik.

Pada perlawanan akhir, semalam, Wei Chong Kai Wun menamatkan kemarau gelaran selama 12 tahun, selepas menumbangkan rakan senegara yang juga juara Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-12, 15-21, 21-16 dalam masa 50 minit.

Kali terakhir wakil negara menjuarai Malaysia Masters ialah pada 2013 menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah dan apa yang lebih menarik kejayaan beregu itu juga diukir selepas mengalahkan rakan senegara, Koo Kien Kiet-Tan Boon Heong pada final.

Ketika ditemu bual pemberita sebaik perlawanan berakhir, Wei Chong berkata, selepas menjuarai Indonesia Masters, dia serta Kai Wun mengalami kemerosotan prestasi dan kerap tersingkir seawal pusingan kedua.

“Jadi kali ini selepas kami memenangi Malaysia Masters, saya amat berharap permainan kami tidak jatuh dan teruskan persembahan yang lebih baik pada kejohanan akan datang.

“Selepas ini, kami akan berangkat bagi menyertai Terbuka Singapura dan diikuti Terbuka Indonesia pula, harap kami dapat bermain baik dalam kedua-dua pertandingan itu,” katanya.

Ketika ditanya perasaan meraih gelaran di tanah air sendiri, Kai Wun pula berkata, dia dapat berasakan kelainan apabila menang di Malaysia dan lawan yang mereka temui pula juga merupakan rakan seperjuangan.

Malaysia Masters merupakan gelaran kedua Wei Chong-Kai Wun, musim ini, selepas menjuarai Indonesia Masters Januari lalu.

Selaku juara, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang AS$37,525 (RM158,730) dan pingat emas sementara bagi Aaron-Wooi Yik, mereka memenangi AS$18,050 (RM76,351) dan pingat perak sebagai naib juara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×