KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No.16 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King gagal memburu perlawanan akhir pertama mereka tahun ini selepas terkandas pada separuh akhir Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Gandingan No.4 negara itu terpaksa akur kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang menghuni ranking ke-18 dunia 19-21, 17-21 dalam masa 48 minit.
Ini merupakan kekalahan pertama Arif-Roy King kepada Lundgaard-Vestergaard daripada lima pertemuan setakat ini.
Kegagalan tersebut juga meleburkan impian peminat badminton tempatan untuk menyaksikan pertembungan dua wakil Malaysia di pentas akhir, esok.
Arif mengakui faktor keletihan dan kekurangan tenaga menjadi antara punca utama mereka gagal menampilkan permainan terbaik pada aksi separuh akhir tersebut.
“Pertama sekali saya minta maaf kepada semua penyokong sebab kami memang mahu menang tetapi lawan bermain lebih baik daripada kami hari ini.
“Mungkin kekalahan ini berpunca daripada tenaga kami yang sudah menurun dan kami perlu cari semula kekuatan itu sebelum Terbuka Singapura minggu depan,” kata Arif kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, mereka sebenarnya masih berjaya mengawal corak permainan sendiri namun gagal mematikan serangan ketika peluang hadir terutama pada set kedua.
“Permainan kami masih sama tetapi kami tak dapat nak mematikan bulu tangkis dan itu jadi masalah utama kami hari ini,” katanya.
Lundgaard-Vastergaard bakal berdepan satu lagi beregu Malaysia iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang sudahpun mengesahkan tempat ke final lebih awal.
Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking kesembilan dunia kini menjadi satu-satunya wakil negara yang akan membawa cabaran Malaysia pada aksi final, esok. – UTUSAN










