Kemajuan perseorangan wanita berada di laluan betul

Kemajuan perseorangan wanita berada di laluan betul

Pemain perseorangan wanita kebangsaan, K. Letshanaa ditenangkan Pengarah Jurulatih Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen (tengah) dan Ketua Jurulatih Perseorangan Wanita Kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin (kiri) selepas tewas, 21-19, 12-21, 10-21 dengan pemain Jepun, Hina Akechi dalam pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Unifi Arena di sini, kelmarin. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemajuan yang dipamerkan K. Letshanaa dan Wong Ling Ching kini berada di landasan yang betul, cuma pesan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia, Kenneth Jonassen kepada para pemainnya agar mereka tidak terlalu mendahului diri sendiri.

“Proses yang dilalui pemain peseorangan wanita ini perlu diambil langkah demi langkah, begitu juga dengan pemain muda, jangan terlalu mendahului diri sendiri sehingga mengundang tekanan yang tidak diingini.

“Apa yang membuatkan saya gembira adalah membantu pemain-pemain ini mencapai potensi masing-masing. Sekarang kami cuma perlu mengawal agar jangkaan itu tidak naik terlalu tinggi atau terlalu cepat,” katanya ketika ditemui pemberita di Unifi Arena, Bukit Jalil, dekat sini, kelmarin.

Letshanaa mencipta kejutan ke atas bintang No. 9 dunia, Tomoka Miyazaki dari Jepun pada pusingan kedua Malaysia Masters 2026 sebelum terkandas di suku akhir, kelmarin, manakala, Ling Ching kurang bernasib baik apabila tewas seawal pusingan pertama.

Namun begitu, kedua-dua pemain itu mempamerkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini terutamanya di Piala Uber, baru-baru ini dengan Letshanaa kini menghuni ranking No. 32 dunia dan Ling Ching di tangga ke-33 dunia.

Dengan ranking tersebut, Letshanaa berjaya melayakkan dirinya beraksi dalam kejohanan utama dan Kenneth berkata, dia mahu pemainnya itu mengawal emosi sebaik mungkin dan terus kekal berdisplin kerana masuk dalam kelompok 32 terbaik tidak mudah.

“Untuk tempoh enam bulan akan datang, saya mahu Letshanaa kekal tabah dan menerima bahawa ini adalah satu lagi peluang untuk dia belajar. Bermula minggu depan di Super 750 (Terbuka Singapura), kita akan bina dari sana,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada beliau meletakkan sasaran tertentu untuk para pemainnya, pengendali kelahiran Denmark itu berkata, secara jujurnya, untuk Letshanaa mungkin sudah melepasi beberapa sasaran dengan berada di kelompok 32 terbaik adalah antara matlamat yang berjaya dicapai.

“Dari segi matlamat, saya rasa kami akan duduk berbincang selepas dua kejohanan seterusnya iaitu Singapura dan Indonesia, kemudian kami akan mempunyai masa untuk melihat semula. Tetapi ia tidak akan dibuat dengan terburu-buru,” katanya.

Beliau menegaskan, kejayaan menewaskan pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, tidak meletakkan Letshanaa sebagai pemain yang luar biasa, tetapi, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada proses jangka panjang bagi membentuknya sebagai pencabar yang baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN