PETALING JAYA: Pengguguran rekod jenayah bekas banduan daripada dataraya Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7) selepas lima tahun masih berada peringkat semakan bagi pindaan dibuat.
Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan kepada Utusan Malaysia, kenyataan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak kepada akhbar ini adalah sealiran dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyemak semula Akta 7 itu.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi membolehkan nama yang tersenarai bawah akta itu ‘dibersihkan’ dan memberikan mereka peluang kedua.
“Kita (Jabatan Penjara) menyokong semakan dilakukan bagi membuka ruang kepada bekas banduan mencari pekerjaan dan pekeriaan dan menyara kehidupan mereka,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Jabatan Penjara Malaysia menyokong pindaan Akta 7 bagi membolehkan rekod jenayah bekas banduan digugurkan daripada dataraya selepas lima tahun.
Begitupun, pengguguran rekod jenayah lampau dilakukan dengan turut mengambilkira penilaian Jabatan Penjara setelah mempertimbangkan tahap kelakuan baik bekas banduan semasa tempoh pemenjaraan yang sekali gus dapat membantu mereka mencari pekerjaan dan menyara kehidupan mereka selepas keluar daripada menjalani hukuman.
Dalam pada itu, Abdul Aziz menyifatkan tempoh lima tahun adalah satu masa yang wajar untuk rekod lampau seseorang itu disimpan dalam dataraya itu.
Pada Ogos 2024, KDN dilaporkan sedang menyemak semula Akta 7.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah memulakan siri perbincangan dalaman yang dijangka tidak mengambil masa lama untuk ke peringkat seterusnya.
Hasrat semakan akta sebenarnya adalah untuk melihat kembali akta itu sebab nama-nama sudah mencecah tujuh digit.
Semakan itu penting bagi membolehkan mereka (dalam senarai) diberi peluang kedua. Mudah untuk mereka minta lesen perniagaan, pergi keluar negara dan sebagainya.
Nama-nama yang tersenarai bawah akta itu termasuk mereka yang terlibat jenayah telah melalui proses jatuh hukuman selain rayuan ditolak.
Senarai penama juga terdiri daripada mereka yang disiasat polis namun, tidak dituduh. – UTUSAN










