TELUK INTAN: “Suami terdiam apabila diberitahu rakan-rakannya meninggal dunia. Sampai sekarang dia tidak cakap apa-apa mengenai kemalangan itu, saya pun tidak mahu ganggu emosi dia.”
Itu kata Nor Diyana Nor Mohamad, 39, isteri Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera parah dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Manik dekat sini pada 13 Mei lalu menyebabkan sembilan anggota terbunuh.
Menurut Nor Diyana, suaminya yang dirawat di Hospital Teluk Intan di sini sudah sedarkan diri pada Khamis lalu.
“Dia tidak sedarkan diri selama 10 hari dan sepanjang tempoh itu, dia dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Sebaik sahaja sedar pada Khamis lalu, dia terus bertanyakan tentang kemalangan tersebut. Dia terdiam apabila diberitahu sembilan rakannya meninggal dunia.
“Dia terkejut dan sehingga sekarang dia tidak bercakap apa-apa tentang kemalangan itu. Sudah tentu dia bersedih dan tidak menyangka kemalangan yang begitu tragis.
“Saya tidak mahu mengganggu emosinya apatah lagi dia masih dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurutnya, suaminya mengalami kecederaan patah rusuk, selain paru-paru, perut dan buah pinggang namun sudah semakin stabil dan sudah dipindahkan di wad biasa sejak tiga hari lalu.
“Saya bersyukur kerana suami sudah sedarkan diri dan keadaannya semakin stabil walaupun masih menggunakan oksigen.
“Melihatkan kecederaan yang dialami, ia mengambil masa untuk pulih,” katanya.
Nor Diyana mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang menjaga suaminya di hospital.
“Terima kasih juga kepada orang ramai yang mendoakan agar suami saya dan mereka yang cedera dalam kemalangan tempoh hari segera pulih seperti biasa,” katanya.
Pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh maut apabila trak dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik di sini.
Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, empat anggota yang cedera dalam nahas itu masih dirawat.
Selain Mohd. Izwan, dua lagi yang masih dirawat di Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44 dan Sarjan Mazlan Mat, 50.
Seorang lagi anggota, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, dipindahkan dari Hospital Teluk Intan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada hari kejadian 13 Mei lalu.
Kesemua mereka sudah stabil dan menunjukkan perkembangan positif. – UTUSAN










