GAZA CITY: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan rakyat Palestin kini menghadapi ‘fasa paling kejam’ dalam perang di Gaza selepas lebih 12 trak bantuan makanan dirompak ketika Israel mula melonggarkan sekatan yang berpanjangan.
Bantuan mula memasuki Gaza secara perlahan selepas Israel membenarkan kemasukan terhad bantuan kemanusiaan walaupun serangan ketenteraan terhadap Hamas masih giat dijalankan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, daripada hampir 400 trak bantuan yang mendapat kelulusan untuk masuk, hanya 115 berjaya dikutip.
“Bantuan yang masuk ketika ini umpama setitis air dalam lautan keperluan dengan serangan ketenteraan Israel yang semakin sengit menyebabkan kadar kematian dan kemusnahan yang amat dahsyat,” katanya
Program Makanan Dunia (WFP) pula melaporkan 15 trak bantuan mereka dirompak di selatan Gaza ketika dalam perjalanan ke kedai roti yang disokong badan itu.
Penduduk Gaza yang dipindahkan, Sobhi Ghattas merayu kepada badan dunia agar menghantar air bersih dan makanan terutamanya kepada kanak-kanak yang semakin sakit dan kebuluran.
“Anak perempuan saya minta roti sejak pagi dan kami tiada apa-apa untuk memberinya makan,” katanya.
COGAT, badan di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal awam di wilayah Palestin memaklumkan sebanyak 107 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza pada Khamis.
Namun, Ketua Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, pihaknya sebelum ini berjaya membawa masuk antara 500 hingga 600 trak bantuan setiap hari semasa gencatan senjata enam minggu yang berakhir pada Mac lalu.
“Tiada siapa seharusnya terkejut atau hairan dengan insiden bantuan berharga yang dirompak, dicuri atau hilang kerana dunia sedia maklum rakyat Gaza ini sudah dibiarkan kebuluran selama lebih 11 minggu,” tegasnya.
Sekurang-kurangnya 71 orang awam terbunuh dan ribuan lagi cedera selepas Israel mendakwa menyerang 75 sasaran Hamas di seluruh wilayah itu termasuk kem tentera, stor senjata dan kedudukan penembak tepat.
Di utara Gaza, Hospital Al-Awda menyatakan tiga kakitangannya cedera akibat serangan dron.
Seorang penduduk Khan Younis, Youssef al-Najjar merayu sambil menangis meratapi kehilangan ahli keluarganya dalam serangan tersebut.
“Bersimpatilah dengan kami. Kami sudah terlalu penat berpindah dan kebuluran. Cukup-cukuplah menyeksa kami!” katanya.-AFP










