LIMA, nostalgia Radzi Manan

LIMA, nostalgia Radzi Manan

MOHAMMED RADZI MANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

RAMAI yang mengetahui Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) adalah ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika edisi sulung acara itu dianjurkan 34 tahun lalu.

Namun, ramai pihak khusus generasi muda yang tidak mengetahui ‘tulang belakang’ di sebalik penganjuran pameran dwi tahunan itu yang kini tercatat dalam pameran udara utama di dunia.

Mingguan Malaysia berpeluang menemu bual DATUK MOHAMMED RADZI MANAN yang merupakan pengasas atau ‘arkitek’ LIMA yang mendapat sentuhannya ketika ia pertama kali dianjurkan pada 1991.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan, MUHAMAD AIMY AHMAD dan jurugambar, SHAHIR NOORDIN bersama bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu sempena LIMA’25 di Langkawi, baru-baru ini.


MINGGUAN: Bagaimana LIMA bermula?

RADZI: Kisah sejarah LIMA disusun rapi dalam buku bertajuk The Wing of An Eagle tulisan Datuk A. Kadir Jasin yang diterbitkan sekitar 2003 mengenai proses LIMA dari awal sampai berjaya. Dalam buku itu ada diceritakan atau didedikasikan tentang bagaimana semua ini bermula.

 

Apa yang masih diingati sebelum LIMA edisi pertama berjaya dianjurkan?
Kami tidak mengenali antara satu sama lain sebelum itu (dengan Dr. Mahathir). Selepas beliau menyuarakan hasrat tentang LIMA, saya diberi peluang untuk mengendalikan pameran itu dari A hingga Z.

Memang banyak yang perlu saya dan pasukan pelajari kerana kita tiada pengalaman langsung tentang penganjuran pa­meran udara sebesar ini walaupun kita sudah memiliki aset-aset tentera ketika itu.

Semasa itu pun kita tak tentukan lagi di mana hendak diadakan LIMA sampailah cada­ngan diberi agar pameran udara ini dianjurkan di Langkawi dan Dr. Mahathir pun amat menyukai idea itu.

 

Jadi apa yang Datuk buat?
Saya pergi dari satu bandar ke bandar lain yang ada menganjurkan pameran udara seperti Paris Air Show, Farnborough International Airshow dan beberapa lagi.

Saya ke pameran-pameran udara ini untuk persediaan pe­nganjuran LIMA. Saya perkenalkan diri dan beritahu hendak buat LIMA, mereka terkejut dan berkata bukankah tempat itu terletak di Peru.
Awak tahulah orang pertama kali kan, banyak lah ‘kerja songsang’ dibuat dengan pakaian tak betul dan lain-lain. Tapi saya perbaiki dari masa ke semasa.

 

Apa lagi usaha dilakukan ketika itu?
Saya kemudiannya pergi ke Kedutaan Russia, bekerja­sama dengan mereka untuk memboleh­kan LIMA diadakan, banyak prosesnya sampailah mereka (pasukan tentera) datang ke Malaysia untuk acara ini.

Saya beritahu Dr. Mahathir bahawa Russia akan datang ke LIMA pada 1991 tetapi beliau tidak percaya sampailah pesawat pejuang negara itu, Russian Knights mendarat kali pertama di Malaysia dan barulah beliau kata kepada saya ‘sekarang saya percaya’.

Bagi saya pihak Russia boleh dikatakan sebagai pendukung kuat LIMA kerana sejak edisi pertama 34 tahun lalu sampai ke hari ini mereka tidak pernah tidak sertai LIMA.

Pasukan aerobatik mereka sangat unik kerana boleh melakukan aksi dengan pesawat pejuang secara berkumpulan, sebab itu dari dulu sampai sekarang jet Russia ini sentiasa dinanti-nantikan peminat aero­angkasa.

 

Apa cabaran Datuk hadapi ketika itu?
Cabaran besar yang saya hadapi adalah tentang kredibiliti kerana macam saya sebut tadi kita tidak pernah menganjurkan pameran udara seperti itu dan di rantau ini pun hanya Singapura yang ada pameran udara ketika itu.

Namun, semua itu telah diatasi apabila LIMA berjaya mendapat perhatian dunia dan menjadi platform utama bagi negara-negara dan syarikat industri pertahanan serta teknologi mempamerkan inovasi dan menjalinkan kerjasama strategik.

Selain itu, cabaran dihadapi untuk anjurkan LIMA adalah logistik. Memang Langkawi terkenal dengan keindahan semula jadi dan statusnya sebagai destinasi pelancongan, tetapi pulau ini pada waktu itu mempunyai keterbatasan dari segi infrastruktur logistik dan kapasiti penginapan untuk menampung kehadiran pengunjung dan delegasi antarabangsa.

Tidak banyak hotel lagi pada masa itu, yang saya masih ingat jika tidak silap saya hanyalah Langkawi Island Resort dan sebuah lagi hotel. Jadi, agak sukar sebenarnya nak buat acara bertaraf antarabangsa seperti ini.

 

Selepas LIMA 1991 berjaya dianjurkan, apa yang Datuk lihat?
Sebenarnya sebelum LIMA edisi pertama bermula, kami kerap turun ke Langkawi sampai ramai pihak tertanya-tanya kerana Dr. Mahathr sendiri, dari setiap bulan ke Langkawi jadi setiap dua minggu, selepas itu setiap minggu.

Jadi, bila semakin diketahui, pelbagai pihak turut menyokong mengikut peranan masing-masing dan urusan kami pun semakin senang.

Pada LIMA edisi kedua 1993, kita sudah makin berkembang, hotel dan kemudahan lain semua naik bercambah. Maka senang untuk kita hendak tarik lebih ramai peserta.

 

Adakah Datuk bayangkan LIMA akan menjadi sebesar sekarang?
Ia akan menjadi salah satu daripada pameran udara terbesar di dunia. Apabila sampai ke penganjuran ketiga LIMA pada 1995 saya dengar Singapura sudah mula risau dengan pameran udara mereka.

Namun, tidak mengapa. Tujuan kita bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak tetapi apa yang kami buat secara tidak langsung sudah menyumbang kepada pembangunan aeroangkasa negara.

Dari situlah Malaysia semakin terkenal dan barulah teknologi-teknologi baharu masuk ke negara kita termasuk kita berjaya merencanakan pelan induk aeroangkasa pertama.

 

Apa yang membanggakan Datuk tentang LIMA?
Paling bangga saya nampak kita punya cogan kata ‘Malaysia Boleh’ benar-benar terbukti kerana LIMA ini besar, jadi kita sudah berjaya naik satu tangga di mata dunia selain dapat menyediakan kelengkapan yang lebih strategik dan seiring dengan peredaran masa kepada tentera kita.

Industri pertahanan kita pun berkembang cepat dengan adanya LIMA. Kalau dulu semua kita hantar ke Singapura untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat dan kapal.

Tetapi sekarang tidak lagi kerana semuanya boleh dilakukan di Malaysia. LIMA juga telah menaikkan imej Malaysia.

 

Sekarang apa yang Datuk buat?
Sebenarnya masa saya buat LIMA 1991 kita memang hendak buat sekali segmen gaya hidup maritim atau pelayaran riadah di samping segmen pertahanan dan komersial kepada tentera.

Tetapi segmen maritim di Awana Porto Malai (kini Resort World Langkawi) tak menjadi rancangan itu, ia macam dilupakan terus. Jadi saya fikir mengapa tidak saya teruskan apa yang saya rancang itu.

Kita tak ada lagi gaya hidup maritim dan pelayaran riadah, kemudian saya berjumpa beberapa pihak di Royal Langkawi Yacht Club serta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), mereka tertarik dengan idea Pertunjukkan Bot Antarabangsa Malaysia (MYBOS).

Apa yang menarik tentang MYBOS?
Dalam tempoh sedekad yang lalu, Langkawi semakin dikenali sebagai destinasi persinggahan utama bagi kapal layar, terutama super yacht sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi-destinasi lain di Asia.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×