DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) merekodkan suhu panas mencecah 50.4 darjah Celsius pada Jumaat yang juga suhu tertinggi pernah dicatatkan dalam bulan Mei.
Sejak beberapa minggu negara padang pasir itu dilanda cuaca terik yang terdedah secara serius kepada perubahan iklim.
Beberapa jemaah solat Jumaat mengakui berasa pening, manakala ada penduduk yang kelihatan sukar dapat berdiri dengan baik walaupun UAE sememangnya biasa dengan suhu ekstrem.
Suhu tertinggi itu dicatatkan di sebuah kawasan di Abu Dhabi, ibu negara kepada negara Teluk kaya minyak yang terletak di antara kawasan paling panas di dunia.
“Cuaca hari ini sangat panas, tidak tertanggung rasanya,” kata seorang penduduk Abu Dhabi berusia 26 tahun, yang memberitahu beliau tiba lewat ke masjid dan terpaksa menunaikan solat di luar.
Suhu semalam mengatasi rekod terdahulu iaitu 50.2 darjah Celsius yang dicatatkan pada 2009, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC).
UAE, antara pengeksport minyak terbesar dunia dan tuan rumah Sidang Kemuncak Iklim COP28 pada 2023 baru sahaja melalui bulan April yang turut memecah rekod dengan purata suhu harian mencecah 42.6 darjah Celsius.
NMC pada Jumaat menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada cahaya matahari, meminum air secukupnya, memakai pakaian yang sesuai dan menggunakan pelindung matahari.
Suhu ekstrem pada Jumaat itu turut disertai kelembapan tinggi yang mencecah 80 peratus di beberapa kawasan di Abu Dhabi.
Para saintis bimbang gelombang haba yang berulang kali berlaku merupakan petunjuk jelas pemanasan global dan dijangka akan menjadi lebih kerap, lebih lama dan lebih intensif.
Bilangan hari dengan suhu panas melampau hampir dua kali ganda di seluruh dunia dalam tempoh tiga dekad yang lalu. -AFP










