HAMBURG: Sekurang-kurangnya 18 orang cedera dalam satu serangan pisau di stesen utama kereta api di bandar Hamburg, Jerman dengan beberapa mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan.
Menurut laporan akhbar harian Jerman Bild, beberapa mangsa menerima rawatan kecemasan di dalam gerabak kereta api.
“Menurut maklumat awal, seorang wanita berusia 39 tahun bertindak mencederakan beberapa orang dengan pisau di stesen kereta api utama. Suspek sudah ditahan oleh pasukan bertindak di lokasi,” kata polis Hamburg dalam satu hantaran di platform X.
Jurucakap jabatan bomba Hamburg memberitahu, enam daripada mangsa mengalami kecederaan yang mengancam nyawa,” kata jurucakap itu lagi.
Jerman kini sedang bergelut dengan siri serangan ganas sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Ahad lalu, empat orang cedera dalam satu insiden tikaman di sebuah bar di bandar Bielefeld.
Siasatan insiden itu diserahkan kepada pendakwa raya persekutuan selepas suspek yang ditahan memberitahu polis dia mempunyai kepercayaan berunsur jihad. -AFP











