Agensi maritim negara pamer ketangkasan di LIMA’25

Agensi maritim negara pamer ketangkasan di LIMA’25

ANWAR Ibrahim melawat model kapal tempur pesisir (LCS) yang dibina dari blok binaan sempena LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri Langkawi, Kedah, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim me­rasmikan pembukaan segmen maritim pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Lang­kawi 2025 (LIMA’25) di Resort World Langkawi (RWL) di sini, semalam.

Gimik perasmian kali ini menyaksikan penyusupan oleh anggota penyelam taktikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjun daripada pesawat dan tiba di hadapan pentas dengan membawa kotak hitam berisi kad slot untuk diaktifkan Perdana Menteri.

Demonstrasi seterusnya mempamerkan keupayaan bot-bot dan luncur jet (jet ski) daripada pelbagai agensi maritim yang melakukan pergerakan taktikal.

Selain TLDM dan PDRM, turut terlibat adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perikanan.

Perdana Menteri turut dipertontonkan demonstrasi ke­upayaan maritim menggunakan konsep inter-agency coordinated rescue mission yang mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM, Unit Gempur Marin PDRM, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) Maritim Malaysia dan Jabatan Laut bersama aset permukaan dan udara.

Adegan terakhir adalah lintas hormat (fly-past dan sail-past) melibatkan aset udara dan permukaan yang terlibat sepanjang sesi demonstrasi sebagai penghormatan kepada para tetamu yang hadir di pentas utama.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Panglima Ang­katan Tentera, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×