PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui wujud jurang dalam aspek teknikal permainan antara Malaysia dan Thailand dalam aksi final berpasukan Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia ASTAF 2025, kelmarin sehingga memberi kelebihan kepada skuad Gajah Perang itu untuk muncul juara.
Ahmad Jais berkata, kekurangan mengekalkan konsistensi mengambil servis, kawalan dan menghadang serangan antara yang menyumbang kepada kekalahan pasukan Malaysia.
Katanya, biarpun kedua‑dua pasukan tidak jauh berbeza dari segi prestasi semasa, kelebihan nyata milik skuad Gajah Perang yang tampil lebih bertenaga pada hari penentuan.
“Pada perlawanan regu, Thailand kelihatan goyah, tetapi dalam acara berpasukan mereka benar‑benar outstanding. Barisan kita pula gagal mempamerkan tahap terbaik seperti di final regu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Ahmad Jais berkata, perbandingan prestasi pada hari pertandingan sebenar menjadi penentu mutlak kemenangan.
“Mana‑mana pasukan yang lebih ‘menjadi’ pada hari tersebut akan meraih kelebihan. Itulah perbezaan besar yang kita perhatikan,” katanya.
Sehubungan itu, skuad negara akan menumpukan beberapa elemen permainan utama menjelang Piala Raja Thai yang dijadual berlangsung pada Julai ini.
“Fokus kini terarah kepada menajamkan servis, meningkatkan kawalan gelanggang dan memastikan tackling lebih kemas. Insya‑Allah, kita akan bersedia sepenuhnya,” katanya.
Malaysia sebelum ini tewas di tangan Thailand dalam final berpasukan, sekali gus menonjolkan aspek yang perlu diperkemas jika ingin menamatkan dominasi seteru utama itu di pentas antarabangsa.
Kata beliau, regu utama yang diketuai tekong Syahir Rosdi tidak mampu mengekalkan rentak konsisten sebagaimana dipamer ketika separuh akhir.
“Pertahanan lawan memberi tekanan tinggi dengan bola pertama kita banyak terlepas. Kekangan itu menjejaskan corak serangan dan pertahanan, sekali gus membuka ruang kepada Thailand mengutip mata mudah,” ujarnya. – UTUSAN










