Cari pendekatan elak haiwan jadi korban kemalangan jalan raya

Cari pendekatan terbaik elak haiwan terus jadi korban kemalangan jalan raya

PENDEKATAN bersepadu antara kerajaan, swasta dan masyarakat awam amat penting demi melindungi kedua-dua nyawa manusia dan haiwan di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan kemalangan tragis yang melibatkan kematian haiwan liar akibat pertembungan dengan kenderaan. Oleh itu, langkah-langkah praktikal dan sistematik perlu diambil untuk menangani isu ini dengan segera.

Langkah pertama yang penting ialah mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi berlakunya pertembungan antara haiwan liar dan kenderaan. Ini boleh dilakukan melalui kajian lapangan yang melibatkan kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pakar biodiversiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Data sejarah kemalangan dan pengamatan pergerakan haiwan juga boleh digunakan untuk mengenal pasti kawasan panas atau laluan lintasan utama haiwan liar. Dengan maklumat ini, boleh merancang intervensi yang lebih tepat dan berkesan.

Langkah seterusnya ialah menjalankan pemantauan secara konsisten untuk mengumpul data tentang corak pergerakan haiwan. Teknologi seperti kamera perangkap, dron dan alat penjejak boleh digunakan untuk memantau pergerakan haiwan liar tanpa mengganggu habitat mereka. Data ini bukan sahaja membantu dalam mengenal pasti waktu puncak pergerakan haiwan, malah menjadi asas kukuh dalam perancangan pembangunan infrastruktur yang lebih mesra biodiversiti.

Kita juga perlu memulihkan semula kawasan hutan yang rosak akibat pembalakan atau pembangunan serta membina koridor ekologi bagi memudahkan pergerakan haiwan liar tanpa perlu melintas jalan raya. Koridor ini boleh dihubungkan antara satu kawasan hutan dengan kawasan lain yang terpisah akibat jalan raya atau pembangunan manusia. Pendekatan ini membantu mengurangkan tekanan kepada haiwan untuk melintasi jalan bagi mencari makanan atau pasangan.

Langkah pencegahan seterusnya yang terbukti berkesan di beberapa negara maju ialah pembinaan jejambat atau terowong khas untuk haiwan liar. Struktur ini membolehkan haiwan melintas dengan selamat tanpa perlu berhadapan risiko dilanggar kenderaan. Terowong ini direka bentuk dengan elemen semula jadi, seperti tumbuhan hutan, lebih cenderung digunakan oleh haiwan. Di Thailand dan Kanada, pendekatan ini berjaya mengurangkan kadar kemalangan melibatkan haiwan liar.

Pemasangan pagar penghadang di sepanjang jalan raya juga penting bagi menghalang haiwan liar daripada memasuki jalan. Walau bagaimanapun, pagar ini perlu direka supaya tidak mengganggu laluan pergerakan semula jadi haiwan. Pagar tanpa laluan alternatif hanya akan memerangkap haiwan dan meningkatkan risiko konflik dengan manusia.

Teknologi moden boleh dimanfaatkan melalui pemasangan sistem amaran pintar. Sensor gerakan boleh diletakkan di tepi jalan untuk mengesan kehadiran haiwan dan mengaktifkan lampu amaran atau papan tanda digital kepada pemandu. Sistem ini memberikan amaran masa nyata supaya pemandu dapat memperlahankan kenderaan atau bersedia berhenti. Ini adalah langkah praktikal terutama di kawasan yang kerap dilintasi gajah atau tapir pada waktu malam.

Langkah pentadbiran juga boleh diambil seperti mengehadkan masa operasi lori berat di kawasan hutan pada waktu malam. Waktu malam adalah waktu aktif bagi kebanyakan haiwan liar. Penjadualan semula pergerakan kenderaan berat atau penggunaan laluan alternatif boleh membantu mengurangkan pertembungan.

Papan tanda amaran dan had laju rendah juga wajib dipasang di kawasan berisiko tinggi. Ia bukan sekadar formaliti, tetapi alat komunikasi penting untuk meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pemandu. Penambahan ciri visual seperti lampu berkelip atau cat pendarfluor di jalan boleh menarik perhatian pemandu agar lebih berhati-hati, terutama ketika waktu senja dan malam.

Pendidikan dan kesedaran awam memainkan peranan besar. Pemandu lori, bas dan kenderaan awam perlu diberi taklimat tentang bahaya kemalangan dengan haiwan liar dan cara bertindak jika ternampak haiwan di jalan.

Kempen kesedaran melalui media sosial, stesen minyak dan hentian rehat boleh membantu menyampaikan mesej ini secara berterusan. Di samping itu, pemantauan dan penilaian berkala terhadap semua langkah yang diambil perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanannya.

Pendekatan bersepadu antara kerajaan, swasta dan masyarakat awam amat penting demi melindungi kedua-dua nyawa manusia dan haiwan di negara ini.- UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN,
Pengurus Kanan,
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Kumpulan Interflour

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×