DALAM usaha mengurangkan kesesakan jalan raya serta menurunkan kos logistik negara, penggunaan rel bandar sebagai alternatif penghantaran barangan semakin mendapat perhatian.
Beberapa negara maju sudah lama memanfaatkan sistem rel bandar bukan sahaja untuk pengangkutan penumpang, malah sebagai saluran logistik bandar yang cekap dan mesra alam.
Projek perintis kerjasama antara Diolko dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebelum ini membuktikan keberkesanan model ini apabila berjaya mengurangkan pelepasan karbon sehingga 70 peratus bagi perniagaan terlibat, tanpa menjejaskan operasi pengangkutan penumpang sedia ada.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penggunaan rel bandar sebagai alternatif penghantaran barang perlu diteroka secara lebih meluas kerana kaedah itu terbukti berjaya di bandar utama dunia yang menitikberatkan kelestarian alam.
Menurutnya, antara bandar yang berjaya melaksanakannya ialah Antwerp, Belgium, yang menggunakan sistem rel bandar untuk penghantaran kargo dalam kawasan bandar.
“Di Lembah Klang, kita sudah memiliki empat jenis rel iaitu rel berat (KTM Komuter), rel ringan (Monorel), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) yang kesemuanya direka untuk pengangkutan penumpang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Sebahagian besar penghantaran barangan kini dibuat secara pintu ke pintu oleh syarikat seperti Poslaju, Grab dan lain-lain, manakala barangan perdagangan pula dihantar menggunakan lori kecil di seluruh bandar.
“Dengan peningkatan kesedaran terhadap isu pencemaran, terutama di bandar-bandar besar, alternatif penghantaran berasaskan rel semakin diperlukan.
“Namun, penggunaan rel ini untuk penghantaran barangan masih sangat terhad, sedangkan potensinya besar jika dilaksanakan dengan perancangan rapi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas kaedah pelaksanaannya, beliau berkata, secara teknikal terdapat dua pendekatan boleh diguna pakai iaitu menyatukan gerabak penumpang dan kargo atau menyediakan gerabak khusus untuk barangan sahaja.
“Kaedah kedua lebih praktikal kerana membolehkan pemunggahan dilakukan dengan lebih cekap dan selamat tanpa gangguan penumpang, tetapi ia juga melibatkan kos lebih tinggi kerana memerlukan gerabak khas.
“Selain itu, jenis barangan turut mempengaruhi kesesuaian penggunaan tren atau rel sebagai medium penghantaran, khususnya barangan seperti makanan sejuk beku, makanan segar atau barangan yang tidak memerlukan penyejukan.
“Setiap produk mempunyai keperluan tersendiri dari segi penyejukan, pengendalian dan kadar susut nilai. Oleh itu, analisis kos-faedah terperinci perlu dijalankan sebelum sistem ini dilaksanakan secara menyeluruh,” ujarnya.
Aimi berkata, sekiranya dilaksanakan dengan berkesan, ia dapat menjimatkan masa dan menurunkan kos pengangkutan serta logistik yang boleh membantu mengawal kenaikan kos perniagaan di bandar besar.
“Ini penting untuk mengimbangi kos kenaikan sewa premis yang merupakan antara kos utama kepada perniagaan di kawasan bandar, terutamanya kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyokong perusahaan besar lain di bandaraya.
“Jelas, ia membantu PMKS menjadi lebih berdaya saing dan kompetitif.
“Infrastruktur sedia ada, terutama di Lembah Klang, mencukupi dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan untuk memperluaskan perniagaan dengan memberikan khidmat angkutan kargo melalui jaringan rel yang ada,” ujarnya.-UTUSAN










