PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah mengambil keterangan bekas ahli lembaga pengarah Sapura Energy Berhad (SEB) bagi siasatan pengubahan wang haram membabitkan tokoh korporat bergelar Tan Sri bernilai lebih RM500 juta.
Satu sumber memberitahu kepada Mingguan Malaysia, selain keterangan beberapa individu termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk, SPRM juga telah memanggil ahli keluarga tokoh korporat yang disiasat.
Sumber itu berkata, kesemua mereka dipanggil bagi dirakam keterangan semalam.
“Siasatan masih berjalan dan ketika ini proses merakam keterangan masih dilakukan SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya di sini.
Pada 15 Mei lalu, akhbar ini melaporkan SPRM akan mengambil keterangan ahli keluarga tokoh korporat bergelar Tan Sri bagi membantu siasatan dibuat mereka.
Selain itu keterangan bekas ahli lembaga pengarah SEB yang juga dikaitkan dengan Tan Sri itu turut dirakam.
Lapor akhbar ini juga, Tan Sri berkenaan turut dipanggil semula SPRM pada 13 Mei lalu untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan siasatan SPRM terhadap tokoh korporat itu turut tertumpu kepada unsur rasuah bernilai jutaan ringgit yang melibatkan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara.
Lapor akhbar ini, SPRM sedang dalam usaha mendapatkan keterangan dan dokumen penting yang dipercayai berada di Singapura, Belanda dan Brazil.
Kerjasama dengan agensi penguat kuasa negara-negara tersebut sedang giat dijalankan bagi melengkapkan siasatan menyeluruh.
Terdahulu, sebanyak 83 akaun bank dibeku melibatkan lima individu dan 15 syarikat, dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM158.26 juta.
Siasatan SPRM terhadap tokoh korporat itu menjurus kepada isu ganjaran seperti gaji, bonus dan saham yang diterima secara meragukan, termasuk juga yuran penjenamaan (branding fee) dan penempatan persendirian (private placement).
Difahamkan, kesalahan yang disiasat melibatkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang berkait dengan salah guna kuasa.
Pada masa sama, siasatan turut menyentuh unsur pecah amanah, pemalsuan dokumen dan salah guna dana di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.
Laporan media sebelum ini mendedahkan bahawa seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri sedang disiasat SPRM kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berkaitan pemilikan saham SEB bernilai lebih RM500 juta.
Individu tersebut telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 dan 6 Mei lalu untuk dirakam keterangan, namun belum ada tangkapan dibuat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada Mac lalu berkata kerajaan telah memulakan audit forensik ke atas SEB melalui pelantikan firma audit antarabangsa, Ernst & Young, bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam penstrukturan semula syarikat tersebut.
Menurut Anwar, suntikan modal berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya merupakan pinjaman yang perlu dibayar semula. – UTUSAN










