PETALING JAYA: Pelaksanaan semula sistem e-penempatan melibatkan 2,245 pegawai perubatan Gred UD10 yang tertangguh sejak Februari lalu dijangka dibuka semula selewat-lewatnya akhir Mei ini selepas beberapa kali tertangguh.
Gangguan teknikal pada 27 Februari lalu menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10, sekali gus menjejaskan agihan yang boleh ditetapkan dalam sistem e-penempatan.
Pada 16 Mac lalu, pegawai perubatan dimaklumkan bahawa proses e-penempatan dibatalkan sekali lagi pada saat akhir, tanpa sebarang penjelasan lanjut.
Pembatalan itu disampaikan melalui e-mel, hanya sehari sebelum sistem dijadualkan dibuka semula pada Isnin, 17 Mac dan kelmarin masih gagal diakses.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM kini giat melakukan pemurnian sistem bagi memastikan pelancarannya semula berjalan lancar dan bebas daripada sebarang isu teknikal.
“Keutamaan kami adalah memastikan sistem ini berfungsi lancar dan adil untuk semua. Kami amat menghargai kesabaran semua pihak dan komited untuk membuka semula sistem ini sebelum akhir Mei, insya-Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau memberi jaminan bahawa setiap aspek teknikal kini diuji secara menyeluruh dan pihak kementerian tidak akan melancarkan sistem ini selagi ia tidak benar-benar stabil.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan gesaan agar KKM memberikan penjelasan berhubung kelewatan tersebut yang menyebabkan ramai pegawai perubatan dalam keadaan tidak pasti mengenai penempatan mereka.
Masalah teknikal kali ketiga itu telah menganiaya kumpulan doktor kontrak yang sepatutnya menerima lantikan tetap yang dijadualkan pada 25 Mac lalu.
Kegagalan kelancaran proses pengisian sistem e-penempatan itu juga menyusahkan banyak pihak termasuk mengganggu operasi fasiliti kesihatan awam khususnya membabitkan klinik dan hospital kerajaan luar bandar yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.
Ini kerana ada di antara doktor yang terlibat terpaksa mengatur jadual dan perjalanan masing-masing bahkan melibatkan pengambilan cuti, tempahan hotel, tiket penerbangan dan lain-lain khususnya mereka yang bertugas di luar bandar kerana tiada liputan internet yang baik.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk kumpulan doktor kontrak melahirkan perasaan tidak puas hati tular di media sosial apabila pengisian e-penempatan dibatalkan saat akhir tanpa penjelasan.
Sementara itu, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak melahirkan rasa tidak puas hati kerana sistem yang sepatutnya dibuka semula kelmarin masih tidak boleh diakses. Katanya, ramai pegawai perubatan telah cuba menghubungi KKM namun tidak mendapat maklum balas jelas, sekali gus menambah kekeliruan.
“Jabatan dan hospital juga perlu tahu lebih awal supaya mereka dapat merancang sekiranya berlaku pergerakan besar-besaran doktor ke tempat kerja baharu,” katanya.
Beliau turut bimbang kelewatan sistem e-penempatan ini akan memberi kesan terhadap proses pengambilan pegawai kontrak ke jawatan tetap yang sedang berjalan.
“Kegagalan menyegerakan e-penempatan boleh mengganggu pelan peralihan jawatan kontrak ke tetap. Ini bukan perkara kecil dan perlu ditangani segera oleh KKM,” ujarnya.
Justeru, pihaknya menggesa KKM tampil dengan garis masa yang jelas dan memberi notis awal kepada pegawai yang terlibat bagi memastikan kelancaran proses penempatan semula. – UTUSAN











