Hadiah persaraan terindah buat cikgu Sanusi

Hadiah persaraan terindah buat cikgu Sanusi

SANUSI Zainal Abidin (kiri) menerima Anugerah Ikon Guru Sukan bersempena Majlis Anugerah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Kuching, Sarawak kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengorbanan dan dedikasi cikgu Sanusi Zainal Abidin, 59, yang lebih 37 tahun menyumbang dalam bidang kejurulatihan khususnya melatih anak-anak murid­nya dalam sukan olahraga sehingga ada yang berjaya sehingga ke pentas antarabangsa akhirnya diiktiraf.

Sanusi yang kini Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad itu menerima Anugerah Ikon Guru Sukan sempena Majlis Anugerah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Ku­ching, Sarawak kelmarin.

Anugerah tersebut disifatkan cukup bermakna buat Sanusi dan dianggap hadiah terindah sebelum bersara pada Jun tahun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sanusi berkata, dia telah menabur bakti sebagai jurulatih sejak 1989 dan telah melatih ribuan atlet.

Katanya, selepas puluhan tahun terlibat dalam bidang kejurulatihan, dia akhirnya mendapat pengiktirafan dan penghargaan tersebut.

“Alhamdulillah, atas penganu­gerahan tersebut dan ia juga merupakan hadiah cukup istimewa dan terindah sebelum saya bersara pada pertengahan tahun depan.

“Insya-Allah meskipun bersara selepas ini dan dengan pengalaman yang ada, saya bersedia untuk terus membimbing atlet-atlet khususnya dalam sukan olahraga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Anugerah berkenaan disampai­kan oleh Menteri Pendidikan, Fa­dhlina Sidek.

Minggu lalu Utusan Malaysia melaporkan, pengorbanan dan perit getir cikgu Sanusi yang sudah lebih 37 tahun menyumbang dalam bidang kejurulatihan khususnya melatih anak-anak muridnya da­lam sukan olahraga.

Antara anak didiknya yang telah mencipta nama di peringkat dunia adalah Datuk Abdul Latif Romly dan Zaiman Megat Abu dalam acara lompat jauh serta lompat kijang.

Abdul Latif adalah jaguh lompat jauh negara yang telah melakar pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa termasuk menang dua pingat emas Sukan Paralimpik manakala Zaiman juga mencipta sensasi sama dengan merangkul emas di pelbagai kejohanan termasuk di pentas Sukan Orang Pekak Asia Pasifik.

Kata Sanusi, dia terlibat dalam bidang kejurulatihan sejak mula bergelar pendidik dengan antaranya membabitkan sukan olahraga, bola tampar dan bola baling.

Ujarnya, selain mengajar di SMK Syed Ahmad sejak 2015, dia juga pernah mengajar dan menjadi jurulatih di SMK Syed Alwi dan sekolah sukan, di SMK Syed Hassan sebagai jurulatih sepenuh masa.

Ketika ini, dia juga terus melatih Zaiman menjelang persiapan ke Sukan Deaflympics yang setaraf dengan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo, Jepun hujung tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN