Gunakan kekurangan diri tingkat semangat pelajar normal

Gunakan kekurangan diri tingkat semangat pelajar normal

MOHD. RAZIF Romle sedang mengajar murid tahun tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal bukan penghalang buat guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya, Mohd. Razif Romle, 39, menabur bakti mendidik sejak 14 tahun lalu.

Lelaki yang hanya berketinggian 113 sentimeter (cm) itu juga tidak kekok untuk mengajar pe­lajar normal walaupun pada awal­nya dia dipanggil ‘orang ker­dil’ ketika mula-mula me­langkah masuk ke sekolah.

“Memang peringkat awal terserempak dengan pelajar sewaktu hari pertama persekolahan mereka panggil saya orang kerdil, namun sebaik memasuki kelas dan memperkenalkan diri sebagai guru mereka hormat saya seperti guru normal lain,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Guru berasal dari Felda Bukit Tangga, Changlun itu berkata, walaupun tubuhnya kecil namun dia tidak pernah dibezakan oleh guru besar daripada segi pentadbiran termasuk perlu me­ngajar mengikut sukatan di­tetapkan.

“Saya dilayan seperti guru lain, perlu sediakan bahan me­ngajar mengikut silibus pendi­dikan malah sangat dihormati oleh pelajar kerana saya mengamalkan sikap tegas ketika meng­ajar.

“Apa yang saya mahu mereka mesti mampu mendapat ilmu dari saya dan mengadaptasinya dalam keputusan peperiksaan kelak, selain menjadi pemang­kin meneruskan kehidupan ke­rana mata pelajaran Pendidikan Islam yang saya ajar mencakupi dari awal kelahiran hingga kita menutup mata,” katanya.

Ujar Mohd. Razif, dia berminat menjadi pendidik kerana ke­kurangan diri menjadi satu ke­lebihan baginya untuk dijadikan motivasi kepada pelajar agar te­rus menuntut ilmu dan berjaya dalam kehidupan.

“Saya merupakan pemegang Ijazah Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Uni­SHAMS) tapi menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Islam, Bangi demi menjadi guru.

“Maka jika saya yang dipanggil ‘Cikgu Kerdil’ ini boleh berjaya mencapai cita-cita kenapa pelajar cukup sifat tidak boleh berbuat demikian,” katanya.

Mohd. Razif yang mendirikan rumah tangga dengan wanita senasibnya, Norhazari Zakaria, 39, turut dikurniakan seorang anak berstatus orang kerdil, Awatif Jannah, 9.

Sementara itu, Mohd. Razif pernah menerima Anugerah Guru OKU Cemerlang Negeri Kedah pada 2017 yang menyebabkan beliau semakin bersemangat untuk terus mengajar.

“Selain Pendidikan Islam saya juga mengajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, semua itu tidak menjadi masalah kepada saya termasuk pelajar kerana mereka semua anggap saya sebagai guru yang perlu dihormati,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN