Agak jarang melihat rona biru muda digunakan sebagai asas dalam hiasan dalaman.
Namun, kediaman milik guru, Rosmahwati Mohd. Amir ini berjaya bermain dengan aksesori dan perabot rona biru muda untuk membangkitkan suasana klasik dan elegan.
Mengetengahkan gaya English Cottage dengan sedikit sentuhan ala Perancis, setiap sudut mempunyai perincian perabot putih berukir, susunan bunga, pinggan hiasan dan elemen porselin biru putih yang sinonim dengan gaya barat.
“Konsep ini memberikan rumah kami suasana tenang, klasik, elegan dan nampak bersih.
“Ia juga malar segar. Saya sukakan konsep yang mencerminkan kesederhanaan dan boleh disesuaikan mengikut majlis, misalnya rumah terbuka atau majlis kesyukuran. Semuanya nampak cantik dalam gambar,” katanya kepada Seri.
Suntikan elemen bunga hiasan rona putih dan elemen hijau pada beberapa sudut menjadi kontra yang seimbang pada keseluruhan susun atur.
Pokok hiasan Skybird di ruang tamu menaikkan lagi seri biru dan putih pada ruang.
“Pinggan hiasan gaya Inggeris berwarna biru melengkapkan tema biru classy ini.
“Lampu chandelier dinding memberikan impak nyaman dan tenang. Pencahayaan pun jadi on point untuk bergambar di bahagian ini,” katanya.
Susunan lampu siling juga memainkan peranan penting mewujudkan pencahayaan yang luas dan menarik untuk ruang.
Selain itu, rona dinding neutral dan lembut yang dipadankan dengan langsir biru kelihatan lebih ‘naik’ dan berseri.
Padanan permaidani corak lembut bersama kerusi rotan putih pula menonjolkan lagi sisi gaya Inggeris pada sudut kediaman.
Biarpun bermain dengan beberapa tona warna seperti putih, beige, biru dan hiasan rona hijau, namun rumah ini masih tampil elegan dan tampak senada.
Kata Rosmahwati, dia mengekalkan dua hingga tiga rona utama sahaja pada setiap dekorasi atau aksesori bagi mengelakkan ruang kelihatan serabut.
“Kelebihannya, rumah nampak luas dan cerah kerana pemiliihan tona neutral.
“Gaya ini mudah dipadankan dengan pelbagai hiasan. Ia juga menerbitkan rasa elegan dan mewah tanpa perlu menggunakan banyak barang-barang mahal,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan dapur, gaya yang diketengahkan sedikit berbeza dengan perincian yang lebih moden.

Pemilihan kabinet rona sage green yang dipadankan dengan aksesori dapur daripada material rotan, kayu dan tanaman kecil mewujudkan kombinasi moden dengan sedikit sentuhan tradisional.
Pencahayaan semula jadi yang melatari keseluruhan ruang dapur membangkitkan lagi suasana yang bersih dan lapang pada dapur kediaman banglo setingkat ini.
Secara keseluruhan, dapur ini mempunyai unsur moden namun masih mengekalkan gaya desa yang hangat.-UTUSAN










