Pavilion REIT ambil alih dua hotel di Bukit Bintang bernilai RM480j

Pavilion REIT ambil alih dua hotel di Bukit Bintang bernilai RM480j

PHKL yang terletak di atas Pavilion Kuala Lumpur Mall memiliki 325 bilik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavi­lion REIT) akan mengambil alih dua aset hospitaliti ikonik, Ba­nyan Tree Kuala Lumpur (BTKL) dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur (PHKL) dalam satu urus niaga bernilai RM480 juta.

Menurut kenyataannya, Pavilion REIT telah menerima kelulusan daripada pemegang unit untuk mengambil aset tersebut yang akan meningkatkan hasil dan mengukuhkan pres­tasi jangka panjangnya serta memperkukuh kehadirannya di Bukit Bintang.

Resolusi yang diluluskan membolehkan MTrustee Berhad, yang bertindak bagi pihak Pavilion REIT untuk meneruskan pengambilalihan daripada Lumayan Indah Sdn. Bhd. dan Harmoni Perkasa Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn. Bhd., Datuk Philip Ho berkata, hotel-hotel ini mempunyai sinergi yang tinggi dengan Pavilion Kuala Lumpur Mall dan Elite Pavilion Mall, membolehkan pe­ngalaman yang lebih baik untuk pengunjung dan tetamu hotel.

“Pavilion REIT kekal fokus untuk memiliki dan mengurus aset berasaskan runcit berpres­tasi tinggi, terutamanya pembangunan berskala besar dan bersepadu. 

“Pengambilalihan ini dilihat sebagai peluang yang selaras dengan nilai-nilai REIT dalam kawasan jejak sedia ada di Bukit Bintang, sekali gus menyumbang kepada daya tarikan kawasan tersebut sambil me­ningkatkan daya tahan pendapatan dan prospek pertumbuhan REIT,” katanya.

Kedua-dua hartanah ini merupakan hotel bertaraf lima bintang yang dikendalikan dan diurus oleh Banyan Tree Hotels & Resorts Pte. Ltd. dan secara konsisten mencapai purata kadar penghunian sebanyak 82.1 peratus (BTKL) dan 81.5 peratus (PHKL) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

BTKL yang terletak dalam bangunan bersepadu setinggi 59 tingkat, menawarkan 55 bilik yang serba lengkap, spa Banyan Tree yang memenangi anugerah dan bar atas bumbung. 

PHKL yang terletak di atas Pavilion Kuala Lumpur Mall pula memiliki 325 bilik serba lengkap dengan kemudahan mesyuarat dan acara yang menyeluruh.

Pengambilalihan ini akan dibiayai melalui gabungan hutang atau ekuiti, termasuk penerbitan sehingga 172.4 juta unit baharu kepada penjual atau penama mereka serta penempatan persendirian sehingga 386.0 juta unit baharu untuk mengumpul antara RM264 juta hingga RM552 juta.

Di bawah struktur urus niaga, hotel-hotel tersebut akan dipajak kepada Harmoni Perkasa Sdn. Bhd. untuk tempoh awal selama 10 tahun dengan pilihan pembaharuan sehingga 20 tahun. 

Pajakan ini menjamin sewa tahunan tetap sebanyak RM33.5 juta untuk lima tahun pertama, mencerminkan hasil kasar sekitar 7.0 peratus. 

“Peningkatan kadar sewa dan komponen berubah yang dikaitkan dengan prestasi hotel menawarkan potensi tambahan.

“Struktur ini menawarkan kedua-dua elemen kestabilan dan potensi kenaikan, dengan komponen berubah berdasarkan prestasi hotel dari semasa ke semasa,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×