Krisis tenaga Sarawak: Siapa untung, siapa rugi?

Krisis tenaga Sarawak: Siapa untung, siapa rugi?

PENYELESAIAN secara baik antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan membantu dari segi ekonomi, politik hingga kehidupan sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHU atau tidak, boleh dikatakan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) telah muncul sebagai sebuah firma cari gali minyak dan gas dalam landskap negara yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

Sementara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kekal sebagai sebuah syarikat nasional bertaraf multinasional yang menjadi tulang belakang industri tenaga Malaysia.

Rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua buah entiti, sama ada secara langsung atau melalui wakil kerajaan masing-masing dijangka membawa kesan yang besar terhadap struktur ekonomi, politik dan sosial negara.

Lima implikasi besar sedang menanti sekiranya rundingan ini tidak dilaksanakan secara berhemah:

1. Kemerosotan kredibiliti syarikat nasional
Situasi akan menjadi lebih keruh sekiranya operasi cari gali syarikat Petronas mengecil di zon Borneo. Ia mungkin membawa kesan terhadap kemerosotan keuntungan syarikat.

Apabila sebuah firma perusahaan tidak lagi mampu menjana keuntungan dalam tempoh masa yang lama, barangkali operasi di beberapa bahagian terpaksa dikecilkan, langkah ini bagi mengurangkan kos perbelanjaan terutama dalam konteks penggajian pekerja dan kos upah. sehingga diberhentikan kerja.

Negara akan terus kehilangan pekerja berkemahiran tinggi sehingga menyebabkan isu ‘brain drain’ ( penghijrahan pakar) berterusan tanpa penamat. Bakal-bakal graduan turut cakna tentang keterjaminan peluang pekerjaan pada masa hadapan dan mereka lebih sanggup memilih peluang pekerjaan di luar negara.

2. Desakan negeri lain menuntut hak
Rentetan daripada itu, sudah pasti tuntutan hak dari negeri-negeri lain semakin memuncak. Contohnya, tahun lalu kerajaan Johor menuntut 30 peratus hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Kerajaan Terengganu terus berusaha menuntut royalti petroleum atau wang ehsan. Pada awal 2025, Kedah kembali tegas menuntut nilai pampasan status tanah sawah padi berjumlah RM200 juta.

Maka negeri-negeri lain akan bersikap skeptikal kepada kerajaan pusat, kemudian berterusan mempertikai polisi persekutuan yang hanya terarah kepada fokus keuntungan tetapi mengabaikan pengagihan hasil yang adil lagi saksama.

Justeru, kerajaan Persekutuan terpaksa mempertimbangkan permintaan dengan desakan yang dibuat. Malah, ia juga boleh menjadi faktor pendorong perubahan dasar negara. Hal ini akan membuatkan kerajaan Persekutuan untuk menyemak semula perancangan asal.

Seterusnya, perkara tersebut turut memberi kesan kepada struktur fiskal nasional dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), terutamanya dari segi pembahagian peruntukan pembangunan antara negeri dan pusat. Dalam makna kata lain, kerajaan pusat perlu merombak belanjawan negara supaya lebih menumpukan pemberian bajet yang besar buat negeri berbanding agenda pembangunan nasional.

Barangkali kerajaan Persekutuan akan memberi tumpuan lebih besar kepada koridor ekonomi di Borneo. Contohnya, fokus kepada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi menjadikannya salah satu agenda diplomasi dan mengurangkan ketegangan yang terjadi.

3. Risiko campur tangan luar dalam kawalan sumber strategik negara
Perlu diingat sumber gas asli di perairan Sarawak sangat hampir dengan Zon Konflik Laut China Selatan. Perkara yang membimbangkan sekiranya wujud campur tangan dari pihak luar yang mengambil kesempatan di dalam kesulitan.

Sudah tentu isu Petros dan Petronas bukan sahaja mencuri perhatian dalam negara tetapi turut mendapat perhatian antarabangsa. Berkemungkinan beberapa syarikat daripada luar bersedia menjadi pelabur dalam agenda mendominasi segmen huluan, khususnya sektor minyak dan gas di sebelah Sarawak.

4. Kesan rantaian ekonomi negara dalam jangka panjang
Malaysia amat bergantung kepada minyak dan gas asli sebagai sumber pendapatan negara. Dalam laporan Jabatan Perangkaan menyatakan Malaysia berkembang maju berikutan peningkatan produktiviti dalam empat sektor penting ekonomi iaitu perkhidmatan, pembuatan, minyak sawit serta minyak dan gas.

Selain itu, pengeluaran minyak mentah dan kondensat mencatatkan 181.6 juta tong tahun lalu, manakala gas asli mencapai pengeluaran sebanyak 2,948.8 bilion kaki padu, berdasarkan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli, Suku Keempat 2024.

Andaikan, Petros berjaya membuat pengambilalihan penuh aktiviti cari gali dan pengedaran minyak serta gas yang dibuat oleh Petronas sebelum ini, dijangka memberi kesan ketara kepada pendapatan negara pada masa akan datang. Faktanya, Petronas menyumbang sehingga 30 peratus pendapatan kerajaan pada tahun lalu, sejumlah RM32 bilion bayaran dividen dibuat syarikat itu.

Dalam konteks penjimatan sumber, seandainya pengurusan hasil gas asli ini tidak diuruskan dengan baik dan cekap, ia bukan sahaja memberikan kesan kepada sumber pendapatan negara malah rantaian ekonomi dalam jangka panjang.

Andaikan suatu hari nanti, sumber minyak negara tidak lagi mampu menampung permintaan di pasaran domestik. Malaysia terpaksa mengimport minyak mentah dan kondensat dari negara luar seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Lebih malang lagi, sekiranya pemberian subsidi minyak oleh kerajaan Persekutuan terpaksa dipertimbangkan semula.

Apabila kos operasi meningkat, ia akan menjadi faktor kenaikan harga produk akhir secara mendadak. Akhirnya, masalah ini akan terus membelenggu pengguna apabila kos sara hidup terus meningkat.

Permasalahan ini sekali gus mendorong krisis kemelesetan ekonomi di dalam negara.

5. Pola reaksi
Bagi rakyat Sarawak, perkara ini dilihat sebagai sebuah autonomi ekonomi. Ramai lebih bersikap positif dengan menyambut baik usaha tersebut kerana ia dilihat sebagai sebuah langkah memperkukuh hak autonomi negeri dan penguasaan terhadap sumber asli. Mereka percaya lebih banyak hasil minyak akan kekal di Sarawak dan manfaatnya akan digunakan untuk pembangunan negeri seperti fasiliti infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

Lain pula perspektif bagi rakyat luar Sarawak, perkara ini dilihat sebagai masalah kritikal. Ada yang khuatir ia akan membuka ruang kepada negeri lain untuk menuntut hak kawalan ke atas hasil mereka, lalu melemahkan konsep federalisme. Jika perkara ini mengheret kepada isu rantaian ekonomi yang panjang. Risiko terbesar adalah bila mana rakyat mula hilang kepercayaan kepada teraju kepimpinan negara.

Tidak dinafikan juga ada yang berpandangan neutral. Terdapat golongan yang melihat perlu ada model kerjasama Petronas dan Petros, tetapi bukan pengambilalihan sepenuhnya, agar kedua-dua pihak mendapat manfaat dan kestabilan ekonomi dikekalkan.

Secara keseluruhan, inti kepada semangat konsep federalisme adalah kebersamaan dalam pembangunan sesebuah negara. Perkongsian sumber asli dan pembahagian hasil keuntungan yang adil menjadi nadi kepercayaan pihak negeri/wilayah terhadap kerajaan persekutuan.
Begitu juga perbincangan serta keupayaan pengurusan yang cekap oleh Persekutuan sangat diperlukan. Ini adalah kunci kepada timbang tara kerjasama yang dapat dilaksanakan bagi memutuskan keputusan menang-menang.

Rundingan melalui perbincangan yang baik dengan pembahagian hasil yang telus perlu dijadikan prinsip dalam segala keputusan yang bakal dibuat.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Ketua Penerangan Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×