HARI Kemenangan dalam Perang Patriotik Raya (1941-1945) yang diraikan pada 9 Mei setiap tahun oleh Russia dan negara bekas Kesatuan Soviet bukan sekadar sambutan semata-mata.
Peperangan yang merupakan sebahagian daripada Perang Dunia Kedua itu menyaksikan lebih 26 juta orang terkorban dengan 17 juta daripadanya adalah penduduk awam iaitu golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Malah, kehancuran yang berlaku ketika itu disifatkan sebagai tragedi kemanusiaan yang tiada tolok bandingan.
Perang Patriotik Raya diumumkan oleh pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin setelah Jerman melancarkan Operasi Barbarossa pada 22 Jun 1941.
Stalin yang menyifatkan rakyat Soviet sebagai ‘ahli keluarganya’ menyatakan merekalah yang akan membela tanah air daripada serangan Nazi.
Peperangan itu menyaksikan jutaan rakyat Soviet berjuang mempertahankan negara sehingga kejatuhan Berlin pada 8 Mei 1945 dan mengisytiharkan kemenangan secara rasmi sehari selepas itu pada 9 Mei 1945.
Hari ini, sudah 80 tahun kemenangan itu dicapai, namun dunia tidak pernah melupakan keperitan dan penderitaan yang ditanggung masyarakat akibat kekejaman rejim Nazi ketika itu.
PERJUANGAN SENDIRI
Penghormatan dan penghargaan wajib diberikan kepada semua wira yang mempertahankan tanah air masing-masing daripada kekejaman Nazi sehingga ke titisan darah terakhir.
Selama tiga tahun pertama peperangan tercetus, republik Soviet berjuang hampir bersendirian menentang tentera Nazi yang mendapat sokongan dan sumber dari Eropah.
Namun, perkara itu tidak sesekali membuat kita memperkecilkan perjuangan bersama untuk membebaskan dunia daripada ideologi Nazi.
Perdana Menteri Britain semasa perang itu berlaku, Winston Churchill pernah menyatakan, “generasi akan datang bakal terhutang budi kepada perjuangan Tentera Merah (Red Army), seperti mana kami yang hidup ketika ini menyaksikan pencapaian luar biasa itu (capai kemenangan menentang Nazi).”
KEMENANGAN MENGUBAH DUNIA
Kejayaan yang dicapai bukan sahaja menjadi sejarah peradaban dunia, tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap perjalanan politik global.
‘Hasil’ peperangan itu membolehkan sistem hubungan antarabangsa moden diwujudkan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kemenangan itu juga mencetuskan proses penyahjajahan yang menyaksikan puluhan negara mencapai kemerdekaan.
Sistem pelbagai hala berpusatkan PBB ini membantu dunia mengelakkan konflik global sepanjang 80 tahun lalu.
Sehingga kini, sistem ini masih relevan dan penting sebagai mekanisme antarabangsa dalam mengawal ancaman dan menyokong pembangunan damai.
PENGAJARAN YANG TIDAK BOLEH DILUPAKAN
Perang Dunia Kedua mengajar kita mengenai ideologi yang menjunjung keunggulan bangsa sikap sombong dan tindakan sewenang-wenangnya mesti ditolak secara tegas oleh komuniti antarbangsa.
Kita mesti komited dan tegas menentang sebarang cubaan menghidupkan semula fahaman Nazi, menyebarkan slogan-slogan nasionalis atau ketuanan mana-mana bangsa dan pihak yang berniat ‘mendominasi dunia’.
Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh membiarkan sejarah diseleweng demi kepentingan politik jangka pendek.
Lebih menyedihkan, ada pihak yang berusaha menyemak semula sejarah, termasuk cubaan menyamakan pembebas dengan penjajah dan mempertikaikan Tribunal Tentera Antarabangsa Nuremberg.
Di beberapa negara Eropah, fahaman Nazi dan tindakan pengikutnya bukan sahaja disokong, malah ideologi kebangkitan nasional dihidupkan semula di peringkat tinggi.
Tindakan itu jelas menunjukkan mereka tidak menghargai jasa dan pengorbanan masyarakat terdahulu dalam mendapatkan keamanan seperti yang dinikmati hari ini.
Jika fahaman Nazi dihidupkan semula ketika ini, adakah landasan perjuangannya masih sama atau bakal dipengaruhi banyak faktor lain mengikut peredaran zaman?
Barisan pemimpin bekas negara Kesatuan Soviet yang menghadiri sambutan Hari Kemenangan di Moscow turut menerima ancaman, sekali gus menunjukkan Kesatuan Eropah (EU) dan kumpulan globalis sebenarnya takut akan keupayaan negara-negara merdeka membuat pilihan bebas dan mempertahankan sejarah yang berlaku.
Persoalannya, kenapa perlu gentar jika mereka yakin dengan keupayaan sendiri?
TANGGUNGJAWAB KEKALKAN KEBENARAN SEJARAH
Pada 4 Mac 2025, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi Russia iaitu ‘Ulang Tahun Ke-80 Berakhirnya Perang Dunia Kedua’.
Dokumen ini disokong bersama oleh 54 negara, termasuk Malaysia.
Sehubungan itu, Russia amat menghargai sikap bertanggungjawab dan penghormatan yang diberikan Malaysia.
Resolusi ini adalah sebahagian daripada inisiatif bersama banyak negara untuk mempertahankan kebenaran mengenai hasil Perang Dunia Kedua.
Dokumen ini turut mengandungi seruan kepada semua negara supaya bersatu dalam menghadapi cabaran dan ancaman terhadap kestabilan global dengan PBB memainkan peranan utama.
PENGORBANAN TIDAK DILUPAKAN, AMARAN BUAT DUNIA
Penerimaan resolusi ini sempena ulang tahun ke-80 kemenangan dalam Perang Dunia Kedua merupakan peristiwa yang amat bermakna.
Ia adalah penghormatan kepada jasa dan pengorbanan masyarakat sebelum kita yang berusaha keras membebaskan dunia daripada ideologi yang memusnahkan.
Pada masa sama, ia menjadi peringatan tentang bahaya semangat balas dendam, cubaan menghidupkan semula fahaman Nazi dan usaha mencetuskan kebencian antara kaum, agama, termasuk percubaan menyekat kemajuan negara yang merdeka dan berdaulat.-UTUSAN
PENULIS ialah Duta Russia ke Malaysia.










