TOKYO: Ketiadaan tong sampah di kawasan awam, termasuk stesen kereta api, dikenal pasti sebagai antara kesulitan utama pelancong ke Jepun.
Menurut tinjauan Agensi Pelancongan Jepun, isu itu dibangkitkan oleh 21.9 peratus daripada lebih 4,000 pelawat asing yang ditemu bual di lima lapangan terbang utama negara itu.
Tinjauan tersebut dijalankan sebelum mereka berlepas dari Lapangan Terbang New Chitose, Narita, Haneda, Kansai dan Fukuoka antara Disember 2014 dan Januari 2025.
Walaupun angka itu menunjukkan peningkatan kira-kira lapan mata peratusan berbanding sebelumnya, ramai responden mendakwa terpaksa membawa pulang sampah ke tempat penginapan selepas gagal menemukan tong sampah di tempat awam.
Dahulunya Jepun mempunyai banyak tong sampai di kawasan awam sebelum dikurangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini atas faktor keselamatan.
Ini susulan serangan pengganas seperti gas sarin di kereta api bawah tanah Tokyo pada 1995, serta pengeboman kereta api Madrid pada 2004.
Namun, ketiadaan tong sampah di kebanyakan tempat awam mencetuskan kebimbangan terhadap masalah pembuangan sampah di lokasi pelancongan.
Selain ketiadaan tong sampah, 15.2 peratus pelancong turut melaporkan isu komunikasi, termasuk kakitangan restoran dan fasiliti lain yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Manakala, 13.1 peratus lagi menyuarakan rasa tidak selesa dengan kesesakan di lokasi pelancongan.- KYODO NEWS










