PETALING JAYA: Pelumba muda, Hakim Danish Ramli mengakui perlu memacu jenteranya lebih laju untuk bersaing dengan pendahulu, Brian Uriarte pada Kejohanan Dunia FIM JuniorGP yang membuka tirai 2025 di Litar Estoril, Portugal, kelmarin.
“Ini podium pertama saya dalam JuniorGP, saya berada di P2, perlumbaan semalam bukanlah permulaan yang baik bagi saya, tapi saya berjaya mengejar semula (kelompok tiga terbaik).
“Saya tahu Brian (Uriarte) ada kelajuan yang lebih baik dan saya pula terperangkap dalam kumpulan yang agak perlahan rentak mereka, untuk perlumbaan seterusnya, saya akan cuba kekal bersama dia,” kata Hakim Danish selepas perlumbaan pusingan pertama berakhir.
Dalam perlumbaan 16 pusingan itu, Hakim Danish mencatat masa 27 minit 52.976 saat (s) untuk muncul naib juara manakala Uriarte dari Sepanyol mengungguli saingan (27:45.045s) dan penunggang Scotland, Rico Salmela di kedudukan ketiga (27:55.448s).
Kejayaan anak jati Kuala Terengganu itu melengkapkan aksi selaku naib juara membolehkannya mengutip 20 mata berharga yang turut menempatkan Hakim Danish di tangga kedua dalam senarai keseluruhan pelumba JuniorGP selepas pusingan pertama berakhir.
Pusingan kedua akan berlangsung di Litar Jerez pada 1 Jun ini, namun, Hakim Danish yang berdepan jadual padat masih belum boleh berehat kerana pusingan kedua Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Le Mans menantinya, hujung minggu ini.
Untuk makluman, Hakim Danish kini mendahului saingan Piala RedBull MotoGP Rookies selepas mengumpul 40 mata, diikuti Carter Thompson dari Australia yang mengutip 38 mata dan Uriarte di tempat ketiga dengan 25 mata. – UTUSAN










