PETALING JAYA: Jualan produk makanan sayuran rangup, Tiptop One Enterprise meningkat sehingga 30 peratus selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menembusi pasaran United Kingdom (UK) anjuran Halal Street UK baru-baru ini.
Pemilik syarikat, Hazlina Nordin, 48, berkata, beliau memohon pensijilan halal pada Februari 2024, kemudian diluluskan oleh Jakim pada Jun 2024.
“Saya memohon sijil halal ini kerana pelanggan akan lebih yakin dan tidak ragu-ragu dengan produk makanan keluaran kami apabila mempunyai pensijilan halal. Malah, kami berhasrat untuk memasarkan ke luar negara satu hari nanti.
“Ketika ini, jualan masih secara terus dan dalam talian. Saya juga ada meletakkan produk saya di kedai-kedai terpilih dan kini, saya juga memasarkan produk ke UK melalui ‘halal street’ UK,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Hazlina yang mempunyai dua orang pekerja itu pernah mengalami kerugian apabila kedainya yang diusahakan di Jelebu musnah akibat banjir besar pada 2021.
“Selepas itu, saya bangkit semula dan membuka sebuah bengkel kecil di sebelah rumah dan terus menumpukan buat produk sayuran ranggup seperti bayam, pegaga, peria, cendawan enoki, bawang putih, bawang putih goreng dan serunding halia dengan harga RM12.
“Kini, saya turut menjual set produk berpantang seperti serunding halia, bawang putih, peria, pegaga pada harga RM45,” katanya.
Hazlina turut menasihatkan kepada pengusaha diluar sana agar memohon pensijilan halal kerana dapat membantu membawa produk untuk lebih ke depan.
“Kebanyakan peniaga khuatir proses memperoleh halal agak sukar, namun sekiranya mengikut arahan yang diberi pemprosesan pensijilan halal akan lebih mudah,” katanya.-UTUSAN










