Boling padang raih empat emas hari pertama

Boling padang raih empat emas hari pertama

Gandingan trio Izzat Shameer Dzulkeple, Muhd Naufal Azmi dan Muhammad Idham Amin Ramlan mengetepikan Thailand 16-8 dalam aksi akhir triples lelaki untuk meraih pingat emas di Filipina. - IHSAN BOWLS MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz memberi amaran awal kepada skuad kebangsaan agar tidak leka selepas mencipta permulaan sensasi dalam hari pertama Kejohanan Boling Padang Asia di Clark, Filipina.

Malaysia menampilkan dominasi awal dengan merangkul empat pingat emas dan satu perak merentasi kategori senior dan bawah 25 tahun (B-25), sekali gus melonjak harapan untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan yang dimenangi tahun lalu di Pattaya, Thailand.

Bagaimanapun, Awalan menegaskan kejayaan itu bukan tiket untuk berasa selesa menjelang baki kejohanan itu yang berakhir pada 4 Mei ini, malah mengingatkan pemain agar sentiasa kekal fokus.

“Kita berada di landasan yang betul untuk mengekalkan kejuaraan keseluruhan, dengan harapan memperoleh pencapaian lebih baik berbanding tahun lepas.  

“Namun saya harap pasukan negara mengekalkan momentum cemerlang ini dan tidak berada di zon selesa dalam menghadapi kejohanan ini,” kata Awalan.

Aksi cemerlang bermula menerusi pasangan senior lelaki Muhammad Soufi Rusli-Amirul Danial Abdul Rahim yang membenam cabaran Hong Kong 21-10 dalam final acara beregu.

Sukan boling padang Malaysia terus menambah kilauan menerusi trio Izzat Shameer Dzulkeple, Muhd Naufal Azmi dan Muhammad Idham Amin Ramlan yang mengetepikan skuad Thailand 16-8 dalam aksi akhir triples lelaki.

Bagi kategori individu, Nurul Alyani Jamil tidak mengecewakan apabila menundukkan pilihan Filipina, Rosita Bradborn 21-11 untuk merangkul emas acara perseorangan wanita.

Satu-satunya perak diperoleh menerusi skuad fours wanita negara yang akur kepada pasukan tuan rumah 12-15 dalam pertarungan sengit hingga akhir.

Di peringkat remaja B-25, Ain Nurnajwa Norhisham turut mencuri tumpuan apabila menghadiahkan emas kelima negara selepas menang bergaya 21-11 ke atas Gloria Ha dari Hong Kong.

Malaysia sebelum ini muncul juara keseluruhan pada edisi 2023 di Pattaya dengan kutipan 10 pingat emas dan bakal mencipta sejarah jika berjaya mempertahankan gelaran itu dua kali berturut-turut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×