KONSEP dari buaian ke liang lahad (Cradle to grave) merujuk pendekatan holistik dalam pengurusan bahan kimia, yang mana setiap fasa hayat sesuatu bahan dianalisa bagi memahami kesannya terhadap alam sekitar dan manusia.
Konsep tersebut bukan sahaja terpakai dalam pengurusan bahan kimia tetapi juga dalam penyediaan makanan. Setiap aspek dalam penyediaan makanan, dari sumber bahan mentah hingga pelupusan sisa perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan kesan negatif terhadap keselamatan, kesihatan manusia dan juga alam sekitar.
Memilih hasil pertanian organik mengurangkan penggunaan racun perosak dan baja sintetik yang boleh mencemarkan tanah dan sumber air. Produk organik juga lebih sihat kerana bebas daripada bahan kimia berbahaya.
Sementara bahan mentah yang dihasilkan sendiri (tanam sendiri) atau dibeli daripada petani kecil bukan sahaja mengurangkan jejak karbon akibat pengangkutan tetapi juga menyokong ekonomi komuniti setempat.
Pilihan seperti ikan dari perikanan lestari, daging daripada ladang yang mengamalkan penternakan mesra alam serta protein berasaskan tumbuhan dapat mengurangkan kesan negatif terhadap biodiversiti dan perubahan iklim.
Penyedia makanan boleh beralih kepada bekas boleh guna semula. Boleh juga mempertimbangkan penggunaan pembungkusan semula jadi seperti daun pisang.
Mengamalkan kaedah memasak yang cekap tenaga seperti induksi yang lebih efisien atau ketuhar tenaga rendah dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan tenaga.
Sementara fasa liang lahad merujuk sisa makanan. Di Malaysia, isu sisa makanan sering menjadi perhatian kerana dikaitkan dengan pencemaran alam. Oleh itu, pengurusan sisa yang cekap amat dititikberatkan.
Sistem kompos boleh digunakan untuk sisa organik, mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan serta mengelakkan pelepasan metana, gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global. Baja kompos yang dihasilkan juga boleh digunakan semula dalam pertanian.
Penyedia makanan perlu menyediakan tong kitar semula yang berlabel dengan jelas serta mendidik pelanggan tentang cara membuang sisa dengan betul supaya pembungkusan yang boleh dikitar semula tidak berakhir di tapak pelupusan sampah.
Penggunaan bahan pembungkusan mesra alam seperti kertas lilin, bioplastik terbiodegradasi atau pati jagung boleh menggantikan plastik tradisional. Selain itu, inovasi seperti bungkusan yang boleh dimakan boleh dijadikan pilihan mampan.
Masalah plastik dalam pembungkusan makanan boleh diatasi dengan kesedaran dan kesediaan untuk kembali kepada amalan hijau yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Sebelum plastik digunakan secara meluas, manusia menggunakan pelbagai bahan semula jadi untuk memasak dan membungkus makanan, sekali gus mengurangkan sisa plastik yang memerlukan ratusan tahun untuk terurai.
Sudah tiba masa untuk kembali kepada kaedah hijau. Amalan ini bukan sahaja lebih mesra alam tetapi juga lebih sihat dan menjimatkan. Setiap perubahan mungkin mencabar pada awalnya, tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.
Marilah kita sama-sama membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa demi kelestarian bumi untuk generasi akan datang.-UTUSAN
Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin & Dr. Zuritah A. Kadir
Fakulti Teknologi Kejuruteraan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)











