Belaan Haji Dolah mencari tuan baru

Belaan Haji Dolah mencari tuan baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini saya berjumpa dengan seorang rakan lama, seorang penulis cerita-cerita seram di sebuah majalah popular satu ketika dahulu. Di sebabkan sudah lama tidak berjumpa pelbagai kisah kami bualkan terutamanya pengalaman lama ketika sama-sama bertugas di bawah satu bumbung sebelum ini.

Sedang rancak bercerita, tiba-tiba dia bertanya kepada saya, “Eh, kau ingat lagi tak kisah seram masa kita pergi assignment di Kedah dahulu?

Saya garu kepala cuba mengingati. Terus dia ingatkan saya kembali satu persatu. Lokasi, watak dan beberapa orang yang kami interview. Akhirnya barulah teringat. Saya tersengih sambil angguk kepala.

Sebenarnya kisah tersebut memang ingin kami siarkan tetapi di saat akhir terpaksa dibatalkan kerana ada antara waris arwah yang tidak mahu cerita itu disensasikan.

Namun kali ini setelah hampir 10 tahun saya ambil keputusan untuk siarkan cerita tersebut dengan mengubah beberapa watak dan nama kampung terlibat, namun jalan cerita dan kronologinya tetap sama tanpa diubah.

Begini ceritanya…

Haji Dolah merupakan seorang bomoh yang cukup terkenal di Kampung Berembang. Namun kematiannya secara mengejut minggu lalu menjadi buah mulut orang kampung. Pelbagai cerita kurang enak mula kedengaran sehinggakan ada yang sanggup menokok tambah untuk menyedapkan lagi skrip cerita.

Haji Dolah meninggal dunia sebaik selesai merawat pesakitnya. Dia tiba-tiba menggelupur seperti ayam kena sembelih sebelum rebah tidak bernyawa. Matanya terbeliak serta lidahnya terjelir panjang, mungkin terasa azabnya ketika dijemput sakaratulmaut.

Ketika hayatnya Haji Dolah memang cukup dikenali sebagai bomoh yang mampu merawat pelbagai penyakit.

Namun cara dia mengubat pesakit amatlah diragui. Dia langsung tidak menggunakan ayat-ayat suci al-Quran tetapi lebih kepada membaca mantera seakan menyeru makhluk ghaib yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Menurut orang kampung dia merawat pesakit menggunakan ilmu sihir dan hantu raya. Entah betul atau tidak, wallahualam, yang pasti pelanggannya cukup ramai sehinggakan rumahnya sentiasa dipenuhi orang yang datang berubat.

Cerita Haji Dolah ada ‘membela’ sudah menjadi buah mulut. Ramai yang menjadi saksi kononnya pernah terserempak dengannya di dua tempat berbeza dalam satu masa. Namun bila ditegur dia tidak menjawab, hanya merenung dengan pandangan tajam.

Haji Dolah memang tidak suka bercampur dengan masyarakat. Kalau ada kenduri kendara atau sebarang majlis di kampung dia memang tidak pernah menghadirkan diri. Nasib baiklah isterinya, Mek Som jenis yang suka bercampur dan bergaul dengan masyarakat, kalau tidak pasti mereka dipulaukan oleh orang kampung.

Selepas seminggu arwah dikebumikan mula timbul pelbagai cerita yang kurang enak. Ramai orang kampung mendakwa terserempak dengan jelmaan Haji Dolah di waktu tengah malam terutamanya yang melintasi kawasan rumahnya.

Walaupun rumahnya sudah kosong tanpa penghuni, namun boleh dikatakan setiap malam pasti nampak cahaya pelita menerangi biliknya. Isterinya awal-awal lagi sudah pindah ke rumah kakaknya di kampung seberang.
Apabila ditanya, kata Mek Som, dia sudah tidak sanggup lagi tinggal seorang diri kerana sering diganggu dengan pelbagai kejadian aneh dan pelik.

Pernah dia beritahu dengan salah seorang saudaranya yang dia tidak mungkin akan balik ke rumah tersebut melainkan jika keadaan sudah pulih dan tiada lagi sebarang gangguan yang menakutkan.

Pagi itu di warung Pak Samad cerita tentang Haji Dolah terus menjadi topik perbualan.

“Betul beb, aku tak tipu kau! Malam semalam masa lalu di depan rumah dia aku nampak ada lembaga dekat pangkin rumah tu.

“Bila aku pandang betul-betul sah! Memang hantu Pak Dolah! Kata Hussin sambil menghirup kopi di cawannya.

Rakan-rakannya yang mendengar sekadar melopong tanpa sepatah kata. Jika benar apa yang dikatakan oleh Hussin itu maka sahihlah apa yang dikatakan oleh orang kampung selama ini kononnya hantu raya Haji Dolah pulang ke rumah.

“Mukanya Ya Allah… seram beb. Macam terbakar hangus,” sambung Hussin sambil menjengilkan matanya.

Cerita Hussin disokong pula oleh rakannya Talib yang katanya pernah terserempak dengan jelmaan Haji Dollah ketika pulang memancing. Kata Talib waktu dia lalu di simpang rumah arwah dia terdengar ada suara orang sedang terbatuk kecil. Apa lagi, terus dia perlahankan motosikal, takut kalau-kalau terlanggar pula di dalam gelap. – UTUSAN

Bersambung
minggu hadapan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×