Peluang bantu pulih ekonomi - Utusan Malaysia

Peluang bantu pulih ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam menerbitkan Sukuk Prihatin digital pertama bernilai RM500 juta sebagai memenuhi permintaan pelbagai pihak yang mahu bersama-sama membantu memulihkan ekonomi negara.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengunjurkan eko­nomi hanya mula pulih pada 2021 dengan unjuran pertumbuhan antara 5.5 hingga 8 peratus, selepas terjejas teruk dise­babkan pandemik Covid-19.

Ini julung kali kerajaan me­lancarkan sukuk dalam negara dengan tempoh matang paling singkat iaitu selama dua tahun.

Langganan Sukuk terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan kadar langganan minimum RM500 dan tiada had maksimum.

Ia dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pelancaran bersejarah bersempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini, merupakan peluang terbaik kepada rakyat dan sektor korporat untuk menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara yang terjejas disebabkan Covid-19, kata penganalisis ekonomi.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, penerbitan sukuk itu mampu menjadi sumber modal baharu kerajaan.

“Sukuk Prihatin membawa rekod tersendiri kerana merupakan sukuk pertama diterbitkan dalam negara, sukuk runcit pertama dengan nilai minimum RM500, sukuk digital pertama dan sukuk pertama yang memiliki tempoh matang hanya dua tahun.” ujarnya.

Katanya, sukuk biasa­nya diterbitkan di luar negara melibatkan tempoh jangka panjang antara 10 sehingga 20 tahun dengan langganan minimum yang tinggi sekitar RM100,000.

“Saya melihat Sukuk Prihatin ini seolah-olah Tabung Harapan, namun memberi persepsi jauh lebih baik kerana kerajaan berkata kami tidak mengutip derma, sebaliknya hanya meminjam daripada rakyat dan perusahaan malah turut memberi keuntungan kepada peminjam,” katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula menyifatkan penerbitan sukuk itu sebagai tindakan bijak bagi menarik orang awam dan syarikat korporat mengambil peluang daripada kadar keuntungan simpanan rendah di institusi kewangan ketika ini.

“Sukuk yang diterbitkan dalam ringgit ini tidak terdedah kepada risiko tukaran mata wang asing di samping kadar keuntungan rendah mengurangkan kos bebanan pembayaran kepada kerajaan.

“Kadar rendah ini juga mungkin menarik pelabur-pelabur asing berbanding bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan kadar faedah rendah pada masa ini,” katanya.

Menurutnya, sukuk itu hanya sebahagian daripada jumlah diperlukan negara memandangkan kerajaan telah mengeluarkan RM35 bilion melalui pemberian tunai dan sebagainya melalui pelan jangka pendek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×