Baju Melayu Raya

Baju Melayu Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari raya hanya beberapa hari saja lagi. Aku bermain seorang diri di halaman rumah yang botak tidak berumput. Tiada siapa hendak bermain dengan aku. Mungkin rumah aku dengan rumah kawan-kawan sekolah aku agak jauh, menyebabkan mereka malas datang bermain di kawasan rumah aku. Aku tidak peduli lagi sama ada mereka datang atau tidak

Waktu itu usiaku baru 12 tahun. Aku terpaksa tinggal dengan tok wan. Ayah dan ibu aku tidak pulang-pulang begitu lama. Mereka telah merantau ke negeri yang satu ketika usia aku menjelang lapan tahun. Kini dalam usiaku yang masih muda mula memahami serba sedikit erti sebuah kehidupan di dunia yang penuh dengan pancaroba.

Tinggal dua hari saja puasa akan pergi. Muncul pula 1 Syawal tandanya umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tanda kemenangan umat Islam memerangi hawa nafsu. Hari kegembiraan umat Nabi Muhammad SAW seluruh dunia.

Aku masih tidak tahu hendak memakai pakaian apa pada hari kegembiraan nanti. Tok wan semakin uzur. Dia tidak cergas lagi. Datuk aku telah lama pergi menemui Maha Pencipta. Menurut cerita tok wan, datuk meninggal waktu aku baru berusia dua tahun. Datuk meninggal akibat terjatuh masa dia hendak ke surau waktu Mahgrib. Itu sahaja yang aku ingat.

Tok wan selalu menasihati aku supaya rajin belajar. Tok wan sanggup berhempas pulas hendak melihat aku berjaya dalam pelajaran.

“Biarpun kita tidak punya harta yang banyak, tok wan nak Udin rajin belajar. Nanti Udin besar, Udin akan tahu dan sedar betapa petingnya ada ilmu. Udin janji dengan tok wan, ya.”

“Atuk juga selalu cakap pada tok wan. Bahagia tidak akan habis hanya kerana kita memberinya. Ingat Udin, bahagia akan bertambah bila kita bersedia untuk memberikan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita nak bagi apa pada orang, tok wan. Kita pun tak ada apa yang nak bagi.”

“Tak semestinya kita tak ada apa-apa maka kita tak boleh bagi apa-apa. Setidaknya Udin buat baik dengan kawan-kawan. Buat baik dengan orang tua. Itu pun dah cukup.”

“Tok wan… baju baru tak ada ke tahun ni? Dah dua tahun Udin raya pakai baju sekolah. Udin rasa nak pakai baju baru tahun ini.”

Tok wan hanya mendiamkan diri. Tiba-tiba mataku terpandang lurah kedut pipi tok wan. Air matanya mengalir agak perlahan. Aku jadi sebak seketika. Namun, tangan tok wan tidak berhenti mematahkan pucuk paku untuk dibuat lauk waktu berbuka puasa nanti.

Aku kalihkan pandangan ke arah dinding rumah yang hampir robek. Papan dinding begitu uzur. Rumah pusaka binaan datuk aku. Ada setengah tempat rumah yang datuk aku bina ini, telah mengalami keuzuran. Mataku berair bila memandang sehelai baju lusuh masih kuat tergantung di paku. Itulah baju aku ke sekolah. Itulah baju aku ke tempat kenduri kalau tok wan membawa aku. Dan itulah baju hari raya aku tahun ini.

Meskipun bukan baru, tetapi baju sekolah aku telah banyak berjasa kepada aku. Itulah penutup dadaku yang kadang waktu diserang rasa dingin. Aku hanya perlu menjaganya supaya tidak rosak.
“Udin…”

“Ya tok wan…”

“Udin cuba lihat dalam bakul kain tu. Petang semalam ada seorang datang berikan suatu bungkusan. Tok wan belum buka lagi. Udin cuba tengok,” suara tok wan lembut.

Aku bangun menuju ke sudut dinding yang terdapat bakul kain. Aku dengan cermat mengangkat bungkusan tersebut dan membawanya ke tempat tok wan. Aku membuka ikatan bungkusan itu dengan perlahan.

Aku terus memeluk sepasang baju Melayu yang dihadiahkan oleh seorang hamba Allah yang aku tidak kenal. Tok wan juga tidak kenal. Dalam bukusan itu ada sekeping sampul kertas. Aku membuka sampul tersebut dan berpinar mata aku. Inilah kali pertama aku melihat wang begitu banyak. Aku tidak sabar lagi terus memberitahu tok wan. Tok wan nampak senyum. Aku amat bersyukur dan terus menadah tangan.

Ketika itu aku lupa segala kesusahan. Dalam usia 11 tahun aku baru merasa nikmat keriangan. Kali ini hari raya akan aku sambut dengan penuh kegembiraan. Tok wan hanya tersenyum melihat gelagat aku. Aku terus memeluk tok wan sambil menghamburkan tangisan.

Malam itu aku tidak dapat tidur dengan lena. Tidurku dalam keresahan. Hujan lebat diiringi ribut mengganggu keamanan tidurku. Dalam keadaan mamai aku tersedar kerana tempias. Ada beberapa tempat atap bocor. Walaupun tidak besar lubangnya, lama-lama penuh juga bekas yang aku tadah dari awal lagi.

Esoknya aku tidak ke sekolah kerana kebetulan esok hari cuti mingguan. Hari raya jatuh pada awal minggu. Kemudian sekolah cuti sampai satu minggu. Keseronokan hari raya berkembang mekar dalam hatiku. Maklum saja, pada tahun ini aku dapat merasakan berpakaian baru. Sungguh indah hari raya kali ini untuk diri aku yang sekian lama bergelut dengan hari raya kesedihan. Bagi mengisi masa lapang sementara menanti waktu berbuka puasa, aku duduk berehat di atas tunggul kayu.

Raya nanti aku hendak berjumpa Rusdi dan Mukhtar. Tidak ketinggalan juga Ghazali yang tinggal tidak jauh dari rumah aku. Aku hendak menayangkan kepada mereka bahawa aku sudah ada baju raya. Kemudian aku hendak mengajak Rusdi, Mukhtar dan

Ghazali berjumpa pula kawan sekolah, Nasriah, Che Shah, Hafizan, Umi Soleha, Safura, Iris dan Wee. Wee sekeluarga bukan bangsa Melayu yang tinggal bersama kami dalam kampung yang bahagia ini sejak daripada moyang dia lagi.

Wee bukan sahaja fasih berbahasa Melayu malah kehidupannya banyak berbudaya Melayu. Keluarga Wee memang disukai oleh orang-orang kampungku. Mereka berbudi bahasa tinggi. Tidak pernah memandang rendah orang-orang kampung.

Aku tahu, Wee anak orang yang boleh dikatakan golongan senang. Tetapi Wee tidak pernah lokek dengan aku. Boleh dikatakan semua kawan-kawan aku itu beranggapan baik dengan aku dan tok wan. Kadang-kadang mereka ada juga datang bermain di laman rumah aku.

Tiba-tiba angan-angan aku mati bila serpihan atap zink jatuh ke tanah. Nyaris-nyaris hendak mengenai aku. Aku mendongak bucu atap. Rupanya atap zink sudah berkarat dan reput.

Esok sehari lagi aku berpuasa. Tok wan juga esok adalah hari akhir dia berpuasa. Lusa aku dan tok wan sambut hari raya. Senyuman bermain di bibir aku. Hari ini aku tidak tahu tok wan masak apa untuk berbuka puasa. Lauk tetap ikan kering ikan cekik leher. Tok wan biasanya goreng dan dicampur dengan hirisan lada serta hirisan bawang merah.

Aku jenis yang tidak memilih lauk. Apa sahaja yang dimasak tok wan semua aku makan. Aku sedar kehidupan kami memang miskin. Itu pun masih dikira aku dan tok wan termasuk ke dalam golongan orang yang beruntung. Harta pusaka datuk adalah sedikit.

Hasil kelapa dan kebun buah-buahan bila tiba musim berbuah, dapatlah aku dan tok wan mengutip hasilnya dan menjual kepada peraih yang datang membeli.

Ketika itulah tok wan membeli beras dan ikan kering berlebih sedikit sebagai simpanan. Sementara hendak menunggu hasil buah-buahan memakan masa yang agak lama. Cuma tok wan tidak dapat diukur mempunyai wang bagi perbelanjaan harian. Tidak semewah orang-orang lain yang tinggal di kampung.

Begitu pun, aku sedar betapa untung nasib hidup dalam kemiskinan. Mujur juga rumah pusaka peninggalan arwah datuk masih kuat walau ada sesetempat kelihatan uzur. Aku tetap bersyukur ke hadrat Allah SWT

“Lepas isyak Udin jangan lupa kemaskan dapur ya. Tok wan rasa penat sikit malam ini.”

“Ya tok wan. Tok wan rehatlah. Selepas tu Udin nak ke rumah Ghazali sekejap. Boleh?”

”Pergilah. Tapi balik cepat. Jangan berlama di rumah orang. Tak baik.”

Selepas habis semua kerja mengemas dapur, aku keluar dari rumah menuju ke rumah Ghazali yang jauhnya lebih kurang 150 meter. Aku tidak takut berjalan malam kerana sudah biasa hidup dalam keadaan kampung.

”Macam mana dengan kawan-kawan kita Li? Jadi ke?”

“Mesti jadi. Engkau dah dapat ke?”

“Rusdi kan dah janji. Dia yang akan dapatkan. Ikut kata Rusdi kat tebing sungai hulu kampung sebelah ada.”

“Banyak ke? Kalau dapat dua batang pun dah cukup. Banyak-banyak buat apa?”

”Betul kata engkau Li. Aku tak nak yang buluh minyak. Aku nak buluh duri. Harap-harap Rusdi dapat yang duri.”

“Karbida kau dah beli, Din?”

“Itu semua engkau jangan risau. Mukhtar yang janji nak beli. Rasanya semua dah siap. Malam esok bergegarlah kampung kita kali ni…”
Aku dan Ghazali ketawa senang hati.

Agak jam 10:.30 malam aku pulang ke rumah. Aku terus baring dan tertidur. Aku tersedar jam di dinding hampir menunjukkan pukul 5 pagi. Aku menjadi hairan kenapa tok wan tidak mengejutkan aku kali ini. Aku bangun dan menuju ke tempat tidur tok wan.

”Tok wan, bangun tok… bangun…”

Aku cuba mengejutkan tok wan dari tidur. Tetapi tok wan tidak bergerak. Aku meraung memanggil tok wan yang tidak akan bangkit lagi dari tidurnya. Tok wan tidur untuk selamanya.

Hari raya tidak bermakna lagi. Baju Melayu tidak bererti lagi. Tok wan tidak dapat melihat aku bergaya di hari raya. Tok wan tidak dapat lagi melihat aku bermain meriam buluh. Tok wan ikut datuk.

Orang kampung meletakkan tok wan sebelah dengan bilik tidur datuk. Tok wan tenang di sebelah datuk. Aku lipat rapi baju Melayu raya dan menyimpannya dalam bakul usang kerana di rumahku tiada almari atau gobok untuk menyimpan kain baju bersama seteguh kasih sayangku terhadap tok wan.
Aku?

Setelah 40 tahun berlalu, aku ziarah perkuburan yang terdapat kubur tok wan dan datukku. Tidak jauh dari situ, kubur emak dan ayahku. Aku jarang pulang berhari raya di kampung kerana aku sekarang bekerja dan menetap jauh dari tempat asalku. Aku terlalu sebak. Aku menangis sambil meluruhkan doa untuk arwah tok wan dan datuk.

Tiba-tiba bahuku ditepuk dari belakang. Terkejut aku.

“Eh… kau, Tar. Kut ya pun bagilah salam.”

Aku bangun dan terus bersalaman dengan Mukhtar. Nampak matanya merah dan sembab mungkin baru lepas menangis.

“Jom Udin. Kita balik. Kita sembang dekat rumah aku. Engkau pun dah lama tak datang rumah aku,” ajak Mukhtar.

Adakalanya takdir seseorang yang hadir dalam kehidupannya membuatkan kita harus mengakui dan sedar bahawa kehidupan itu tidak selamanya abadi kerana ada saatnya kita terpaksa berpisah dengan seseorang yang paling disayangi. Meskipun begitu, kesabaran dan kekuatan harus kita tanamkan dalam diri, dan selalu berdoa meminta yang terbaik untuk diri kita sendiri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×