AKTIVITI berkayak menyusuri hutan paya bakau dalam suasana hijau dan perairan yang tenang semakin popular kerana kurang berisiko selain sesuai untuk semua peringkat usia.
Malah, aktiviti ini semakin menjadi pilihan ibu bapa yang mahu memperkenalkan anak-anak dengan keindahan alam semula jadi.
Menurut Pengarah Operasi Hikers Climber Adventure Team, Ahmad Nazri Ismail, berkayak di kawasan paya bakau yang cetek memberi keyakinan untuk ibu bapa ‘melepaskan’ anak mereka berdayung dengan santai.
Katanya, aktiviti kayak mampu membentuk jati diri kanak-kanak seawal usia 10 tahun untuk tidak cepat ‘koyak’ atau mengalah dalam menghadapi cabaran hidup.
“Kayak mendidik pengguna ‘kenderaan’ air tersebut untuk berdayung dengan kaedah yang betul menuju ke destinasi mereka. Sambil itu menikmati kehijauan hutan paya bakau yang indah bersama teman-teman.
“Kaedah mendayung dengan dayung berbilah dua dengan kedua kaki menjulur ke hadapan mengajar peserta kayak untuk mengawal pergerakan dengan seimbang. Tambahan pula jika berdayung berdua dalam satu kayak,” katanya.
Begitupun, anak-anak yang ingin mencuba aktiviti itu disarankan untuk mahir berenang bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Kemahiran yang dipelajari dapat membantu menyelamatkan mereka jika berlaku masalah semasa berkayak. Tidak kiralah berkayak santai di hutan paya bakau atau di sungai yang deras airnya.
“Ada baiknya sebelum didedahkan aktiviti kayak, anak-anak diajar berenang sejak kecil. Itu kemahiran asas aktiviti air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jeti Pak Din Kampung Bagan Lalang Sepang baru-baru ini.
Eratkan hubungan
Selain meningkatkan ketahanan diri peserta, berkayak juga mampu mengukuhkan ikatan keluarga, organisasi mahu pun pasukan yang menyertai aktiviti tersebut.
Justeru, khidmatnya sering menjadi pilihan syarikat-syarikat korporat dan pelajar universiti sebagai acara kursus, program team-building mahupun kem motivasi.
“Syarikat saya mempunyai hampir 100 buah kayak yang sesuai untuk aktiviti berkayak di laut, sungai dan tasik.
“Jika peserta lebih 200 orang, kita akan mengadakan aktiviti berkayak secara giliran dalam dua kumpulan,” katanya yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam mengendalikan aktiviti rekreasi air.
Tambahnya, aktiviti yang tenang di bawah lindungan pepohon paya bakau ini juga secara tidak langsung menyuntik sikap toleransi dan setia kawan antara peserta yang datang daripada organisasi yang sama.
“Peserta yang berkayak, dilatih untuk mengendalikan kayak secara beramai-ramai tanpa ada satu pun berlanggar antara satu sama lain.
“Konsepnya sama seperti mereka bekerja dalam satu bangunan. Masing-masing ada jabatan dan peranan, yang mana mereka mempunyai misi dan visi yang ditetapkan oleh pihak pengurusan tertinggi,” ujarnya.
Analoginya, aktiviti berkayak secara tersirat mendidik peserta untuk berhati-hati dengan arus air yang ada kalanya tenang dan ada kalanya bergelora.
Mengulas mengenai cabaran, katanya, berkayak di sungai dan tasik sememangnya mempunyai cabaran yang berbeza. Namun, dengan beberapa siri latihan, peserta akan mudah mengendalikannya.
“Kayak itu sendiri memang nampak mudah dikendalikan tetapi perlu latihan, agar lebih cekap kawalan dengan kedua-dua tangan,” jelasnya.
Ahmad Nazri sudah melatih beribu-ribu peserta kayak termasuk turut peserta yang mengalami fobia terhadap air untuk melakukan aktiviti kayak.-UTUSAN










