Tiada rentas daerah 1 Syawal walaupun sebelah menyebelah - Utusan Malaysia

Tiada rentas daerah 1 Syawal walaupun sebelah menyebelah

SEKATAN jalan raya yang diadakan di Bentong, Pahang, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pergerakan rentas daerah dalam negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan pada 1 Syawal ini.

Ini bermakna umat Islam yang meraikan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada 13 Mei ini hanya dibenarkan menyambutnya dalam daerah masing-masing sahaja walaupun sempadan yang memisahkan itu terletak berjiran.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor, terdapat 14 mukim di Terengganu, satu di Perak dan tiga daerah di Johor juga tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) itu sepanjang PKP.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ziarah pada hari raya pertama itu hanya dibenarkan dalam daerah masing-masing.

Sebagai contoh, kata beliau, mana-mana individu dari daerah Petaling tidak dibenarkan merentasi daerah Hulu Langat walaupun lokasi antara kedua-dua lokaliti itu terletak bersebelahan sahaja.

Ini bermakna, penduduk Bangi di Selangor tidak boleh ke Seri Kembangan atau penduduk Gombak dilarang bergerak ke Sentul.

“Pihak keselamatan membuat kawalan ketat sekatan jalan raya di setiap sempadan daerah bermula hari ini terutama pada hari raya pertama.

“Langkah ini semata-mata mahu mengelak penularan jangkitan Covid-19 kerana kita tidak mahu ada perhimpunan atau perkumpulan yang menjadi punca merebak pandemik ini,” katanya di sini semalam.

Sambutan hari raya bagi kawasan PKP dibolehkan pada 1 Syawal dengan had kehadiran tetamu tidak lebih 15 orang dalam satu masa mengikut saiz rumah dan jarak fizikal, iaitu terhad pergerakan dalam daerah sahaja.

Ziarah bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dibenarkan dari 1 hingga 3 Syawal sahaja dengan bilangan tetamu terhad 20 orang bagi lokaliti yang berstatus PKPB.

Bagi kawasan PKPP pula, jumlah tetamu ziarah rumah tidak lebih 25 orang dibolehkan dengan berdasarkan kepada saiz rumah dan penjarakan fizikal.

Selepas enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak, Kuala Langat dan Sepang, seluruh Kuala Lumpur juga dilaksanakan perkara sama.

PKP di Terengganu meliputi Kampung Raja, Lubuh Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.

Sementara itu di Johor, PKP melibatkan Daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi ekoran kes aktif adalah tinggi dengan kebanyakan penularan adalah jenis sporadik dalam komuniti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×