Langkah Sheraton mimpi ngeri yang tidak mahu diulang lagi

Langkah Sheraton mimpi ngeri yang tidak mahu diulang lagi

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA nama sudah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam Pemilihan PKR pada 24 Mei ini. Begitu juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), PROF. DR. MASZLEE MALIK yang akan mempertahankan jawatannya dengan hasrat memperkukuhkan parti, membawa suara golongan pendidik dan paling penting untuk pastikan tidak lagi berlaku perpecahan sebagaimana ‘Langkah Sheraton’, pada Februari 2020.

Itu hasrat beliau walaupun kali ini terpaksa berdepan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim dan Timbalan Ketua Penerangan, Razeef Rakimin, yang bukan sahaja dikenali ramai tetapi memiliki sokongan akar umbi yang kuat.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, bekas Menteri Pendidikan itu tidak hanya bercakap tentang pemilihan PKR tetapi turut berbicara mengenai kelemahan sistem pendidikan terutama pasca Covid-19 yang tidak ditangani sepenuhnya sehingga hari ini.

Ikuti wawancara ini yang turut disertai jurufoto, FAISOL MUSTAFA dan juruvideo, ZUID SAMSON.


 

MENJELANG PEMILIHAN PARTI
Kalau perasan, keputusan untuk mengadakan pemilihan di tengah-tengah penggal pemerintahan Kerajaan Perpaduan. Walaupun ia keputusan kolektif tetapi penegasan presiden parti untuk melihat PKR muncul dengan semangat politik baharu. Ini kerana parti-parti pemerintah sewaktu dalam penggal, tidak berani adakan pemilihan disebabkan takut perpecahan berdasarkan sejarah sebelum ini.

Kita ingin buktikan kepada ahli dan rakyat suasana demokratik, tidak gelojoh dengan jawatan serta habuan kerana ia bukan tonggak ataupun roh yang cuba dibawa PKR.

Saya kira apa yang perdana menteri ingin bawakan adalah supaya PKR yang menjadi sebahagian daripada parti pemerintah dan presidennya ialah perdana menteri untuk mendapatkan mandat yang lebih segar daripada ahli supaya parti terus melonjak ke hadapan.

Ini kerana apabila menjadi parti pemerintah, ramai yang sibuk dengan pentadbiran dan parti kelihatan tidak rancak lagi. Bila diadakan pemilihan, orang mula kembali fikir mengenai parti. Kebanyakan pimpinan parti juga adalah mereka yang berada dalam Kabinet.

Selepas November 2022, mereka lebih tertumpu kepada agenda memulihkan ekonomi, pentadbiran dan membawa reformasi di dalam pemerintahan. Jadi, kebanyakan tenaga dalam PKR lebih ‘ditumpahkan’ untuk memulih keadaan negara menyebabkan parti menjadi tidak rancak.

Kadang-kadang orang sempat terlupa PKR adalah tonggak dalam parti pemerintah itu. Jadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat suasana ini agak kurang cocok dengan keadaan parti. Maka, diadakan pemilihan supaya parti digerakkan semula.

 

KEKAL BERTANDING MPP
Pertamanya untuk memastikan suara golongan pendidik, akademia, ibu bapa yang peka terhadap pendidikan merasakan PKR adalah parti memperjuangkan pendidikan negara. Kerana itu saya kekal untuk bertanding MPP.

Keduanya untuk menguatkan parti. Kita tidak mahu PKR hanya mewakili sesetengah kelompok sebaliknya perlu ada kepelbagaian dan sekarang ini pun ada artis, aktivis, mereka yang terlibat dengan budaya, akademia dan saya ingin menjadi sebahagian daripada tonggak kekuatan parti demi menghadapi masa ke hadapan.

 

PENDIDIKAN SEBAGAI BATU LONCATAN DALAM PARTI
Ini tiada kaitan dengan pemilihan parti. Apa yang saya sebutkan ini sebahagian daripada jiwa dan diri saya sendiri.

Maksudnya kalau saya berada dalam politik atau bertanding MPP, pendidikan adalah nafas dan juga nyawa bagi makhluk bernama Maszlee Malik.

 

MPP JUGA JADI REBUTAN ADAM ADLI, RAZEEF RAKIMIN
PKR sebuah parti demokratik, menawarkan perjuangan ideal. Mereka yang mempunyai idealisme akan menawarkan diri untuk memimpin parti. Jadi, kalau ramai yang ingin bertanding sama ada (jawatan) naib presiden ataupun MPP kerana mereka yakin boleh menjayakan idealisme yang dibawa parti dan merasakan penglibatan untuk membawa agenda reformasi ke hadapan.

 

REFORMASI TANPA PERTANDINGKAN JAWATAN TERTINGGI?
Kalau kita lihat di waktu ini, lebih penting untuk negara kekal stabil. Dengan kestabilan maka berlakulah banyak perkembangan serta pertumbuhan dalam ekonomi, pembangunan dan sosioekonomi secara rancak.
Tetapi jika keadaan dalam parti tidak stabil, ia boleh menjejaskan agenda reformasi ekonomi dan juga pembangunan negara.

PKR pernah melalui ranjau yang begitu getir, kita lihat perpecahan, yang paling ketara selepas ‘Langkah Sheraton’. Ketika itu, PKR dalam keadaan yang begitu lemah apabila sekelompok keluar (daripada PKR) dan itu berlaku ekoran perebutan jawatan nombor dua parti yang tidak dikawal.

 

AGENDA REFORMASI SEMAKIN SURAM
Setiap kerajaan perpaduan di seluruh dunia menghadapi cabaran untuk mengekalkan idealisme parti masing-masing. Ini kerana idealisme parti A tidak semestinya bertepatan dengan parti B. Pertama kalinya kita ada 18 buah parti membentuk kerajaan.

Meskipun demikian, kita lihat beberapa agenda reformasi seperti demokrasi parlimen dan politik terutama dalam pentadbiran awam. Mungkin ada yang terpaksa ditangguhkan dulu demi memastikan keutuhan kerajaan dan juga pertumbuhan ekonomi.

Tetapi ia tidak bermakna mengabaikannya, ia masih lagi dalam senarai utama.

PKR menjadi tonggak politik malaysia ketika ini. PKR bukan sekadar memainkan peranan sebagai pencantum kepada parti komponen PH, malah Kerajaan Perpaduan. Ini merupakan sejarah negara yang akan tercatat selamanya.

 

TERLALU BERGANTUNG KEPADA ANWAR
Yang kita nampak ialah kepimpinan kolektif yang agak tersusun dipacu presiden parti.

Kita mempunyai ramai tokoh-tokoh, banyak nama yang mana banyak keputusan dibuat adalah secara kolektif. Cuma bila katakan balik-balik nampak Anwar kerana kedudukan beliau sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Kalau semuanya bercakap, katakanlah Anwar keluar kenyataan A, timbalan dan naib presiden masing-masing keluarkan kenyataan B dan C. Ini parti apa pula? Orang kata demokratik, memanglah demokratik tetapi cacamarbalah.

Perdana menteri seorang pemimpin yang berwibawa dan formula ini berjaya. Setakat ini, negara telah pulih cuma tidak 100 peratus sebab isu pendidikan belum lagi selesai. Kerana itu negara perlukan kestabilan dan juga kepimpinan.

Tetapi keadaan ini tidak boleh berterusan. Penggal pertama, penggal pemulihan, penggal untuk kita membina kembali daripada keruntuhan sebab itu perlukan pasukan impian dan pemilihan parti ini bertujuan memilih mereka yang layak.

Untuk meneruskan di penggal kedua nanti, perdana menteri tidak bersorangan. Dan saya kira beliau juga memikirkan tentang perlunya kesinambungan, perlunya ada rejuvenasi parti. Saya yakin kita akan melihat wajah yang lebih segar selepas pemilihan.

Cumanya, apabila bercakap tentang Anwar, cabarannya adalah karismatik beliau terlampau menonjol sangat. Beliau meletakkan tanda aras yang terlampau tinggi, sehinggakan orang lain agak sukar untuk capai tahap itu.

Jadi, terpulanglah kepada ahli parti bagaimana untuk mencapai tanda aras itu untuk menjadi pelapis yang setanding beliau.

Kepada pihak pembangkang, daripada sibuk dengan isu-isu perkauman dan agama, lebih baik mempersiapkan diri dan kepimpinan untuk mencapai tanda aras yang perdana menteri letakkan.

 

TIDAK RISAU PKR JADI SEPERTI DAP
Dalam mana-mana parti, tidak kira PKR, DAP, UMNO dan sebagainya, perubahan generasi itu pasti berlaku.

Apa yang berlaku dalam DAP adalah proses transisi itu. Jika mahu kata PKR, saya kira kita pernah lalui krisis. Yang ketara ialah ‘Langkah Sheraton’.

Orang-orang yang dulunya nampak agak ikonik seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin dan juga beberapa orang di peringkat AMK dan lain-lainnya, akhirnya keluar. Sekarang ini, apakah parti ingin mengulangi krisis itu lagi? Saya kira tidak kerana itu mimpi ngeri yang tidak mahu diulangi lagi.

Dan saya kira proses transisi itu akan berlaku. Apatah lagi kita berada dalam parti pemerintah, masing-masing mempunyai idealisme yang ingin dibawa dan semua merasakan mereka ada peluang.

PKR merupakan parti berbilang kaum tetapi komposisi kepimpinan mencerminkan kepelbagaian kaum. Maka, PKR menjunjung Perlembagaan persekutuan dan tonggak utama PKR adalah kaum majoriti di Malaysia tanpa dicabar atau disanggah kesemua ahli parti.

 

TAMBAH BAIK PEMILIHAN
Kalau lihat, pemilihan kali ini agak menarik kerana menggunakan pengundian secara dalam talian. Kita mahu lakukan usaha pemutihan, kita letakkan syarat tentang perwakilan mestilah mewakili semua pihak dari segi jantina, bangsa, etnik dan sebagainya.

Jadi, sama ada melalui perubahan pindaan perlembagaan parti yang berlaku pada tahun lalu ataupun beberapa pindaan terhadap peraturan-peraturan menunjukkan PKR sentiasa bergerak ke hadapan dan adanya perubahan.

PKR berbeza dengan parti lain, kita mempunyai agenda reformasi. Kalau tidak boleh laksanakan pada penggal ini, kita akan pastikan ia dilaksanakan pada penggal seterusnya.

Kita mahu pastikan golongan muda yang sertai PKR bukan untuk dapatkan jawatan atau habuan tetapi ingin membawa perubahan, kerana itu mereka perlu ada aspirasi reformasi.

Jadi mungkin aspek latihan itu perlu disemarakan. Aspek pemantapan dan idealisme parti agak tidak serancak yang sepatutnya.

 

TIDAK TINGGAL JANJI
Sewaktu menjadi pembangkang, golongan muda sangat tertarik dengan Pakatan Harapan (PH) mungkin kerana pelbagai janji ditaburkan. Janji-janji yang dibuat adalah respon terhadap keadaan politik dan ekonomi di waktu itu.

Kita bangkitkan isu tol dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Ketika itu masih ada ruang untuk memungkinkan dengan pembelanjaan yang tidak membukit sementara beban PTPTN tidak seperti hari ini. Ia juga tidak seperti 2019, waktu saya dalam kerajaan.

Sebab itu untuk tarik golongan muda hari ini, PH perlu menunjukkan rekod baik dari segi pentadbiran berbanding membawa alternatif kepada kerajaan. Dulu PH bawa alternatif kepada kerajaan tetapi hari ini, kita berada dalam kerajaan, kita buktikan dengan rekod pencapaian-pencapaian.

Kita perlu bezakan kerajaan hari ini berbanding zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Bila buat perbandingan, rakyat akan lihat dan menghargai kerana kerajaan hari ini lebih baik. Dan rakyat perlu bersama untuk memastikan kerajaan ini akan jauh lebih baik.

 

ORANG MUDA NAK ‘LARI’ KE MANA?
Mungkin ada golongan muda yang ‘lari’ kerana rasakan kerajaan tidak tunaikan janji tetapi mereka nak ke mana? Apakah alternatif yang boleh ditawarkan pihak pembangkang? Tidak ada juga.

Jadi, malah kalau kita lihat kepada janji alternatif, sepatutnya ramai yang lebih lari daripada Perikatan Nasional (PN) sebab Pas janjikan untuk laksanakan hukuman hudud melalui Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355). Kenapa tidak laksanakan semasa menjadi kerajaan selama 33 bulan?

Begitu juga PTPTN, Pas juga janjikan perkara sama, kenapa tidak laksanakan sebaliknya mempersoalkan kepada kerajaan hari ini? Mungkin mereka lupa cermin diri.

Kerajaan bukan tidak laksanakan janji-janji tetapi memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang lebih mendesak.

 


Bersuara mewakili golongan pendidikan

 

JANGAN NAFIKAN KELEMAHAN
Mungkin ada orang lupa adanya (bekas) Menteri Pendidikan bernama Maszlee Malik. Pun begitu, saya masih lagi dihubungi, dikejar, dijadikan tempat mengadu dan tempat rujukkan sesetengah pendidik, akademia, ibu bapa malah anak-anak. Ramai yang masih DM (mesej langsung). Saya masih lagi diundang ke majlis, bual bicara, mesyuarat dan sebagainya.

Malah, media sering juga kejar saya terutamanya bila membincangkan tentang pendidikan yang tidak dibicarakan dengan begitu serius seperti UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), kurikulum mata pelajaran sejarah yang ingin diubah, STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi) yang digalakkan oleh Anwar dan keputusan PISA 2022 (Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa) yang teruk.

Semasa menjadi pembangkang pun, saya pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan di Parlimen.

Ketika itu, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menjadi Menteri Pengajian Tinggi. Beliau tidak hadir (ke Parlimen) sebaliknya mengarahkan ketua pengarah atau ketua setiausahanya sedangkan di Parlimen adalah ruang untuk membawa suara rakyat dan mendapat maklum balas kementerian dengan lebih mendalam.

Ketika itu kita bawa isu Pelan Pemulihan Pendidikan Pasca Covid-19 yang sehingga kini tidak nampak. Ada kita dengar mengenainya hari ini? Saya tidak tahu. Kalau ada, patutnya media yang lebih tahu.

Yang kita tahu, mereka kata kurikulum baharu sekolah pada 2027 untuk menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Yang keduanya, Kementerian Pendidikan sering muncul dengan intervensi, duta serta pelbagai inisiatif. Yang bagus, kita sokong, kita puji tetapi tidak membawa perubahan radikal yang diperlukan pasca Covid-19 sebagaimana banyak negara-negara luar bingkas bangun untuk melakukan perubahan dan reformasi selepas menerima laporan daripada Data Terbuka Bank Dunia (OECD).

Negara lain selepas laporan tersebut dikeluarkan, mereka menerima teguran dan terus memperbaiki kelemahan tetapi ia agak kurang berlaku di Malaysia sehingga perdana menteri menyuarakan supaya tidak bersikap menafikan ekoran pendidikan kita dalam krisis.

Apa yang saya nampak lebih kepada pegawai kementerian cuba menafikan. Mereka kata, jangan bergantung kepada penilaian luar, yakin ada data dan sebagainya. Nampaknya jawapan mereka tidak selari dengan perdana menteri.

Dan apa yang kita lakukan di Malaysia ini tidak serancak negara luar. Mereka telah berjaya meninggalkan mimpi ngeri Covid-19.

KELEMAHAN RADIKAL
Kita tahu selepas Covid-19, terserlah pelbagai kelemahan dari segi kurikulum, latihan perguruan, tidak berjaya menyelamatkan dengan cepat anak-anak yang digelar sebagai generasi tercicir dan sebagainya.

Dan dalam jawapan di Parlimen, kita dapati angkanya agak besar. Kelemahan dari segi gagal meyakinkan rakyat dan anak muda bahawa mereka perlu berpendidikan. Kita tidak boleh lihat laba yang segera dengan menjadi pekerja ataupun usahawan gig, lantas meninggalkan pendidikan.

Sebab itu kita lihat bilangan yang tidak duduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), yang lulus tetapi tidak menyambung pelajaran dan sebagainya. Itu semua indikator-indikator yang agak mengerikan.

GAGAL TANGANI MASALAH?
Kita tidak boleh melihat menteri semata-mata sebaliknya keseluruhan kementerian. Kalau masih ingat, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) semasa di Parlimen mengatakan bukan dirinya yang menghapuskan UPSR tetapi Putrajaya (Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin).
Kemudian Putrajaya mengamuk. Dia kata yang hapuskan peperiksaan itu berdasarkan keputusan kolektif, keputusan kementerian.

Ini jelas menunjukkan cara pimpinan beliau. Sepatutnya, sebagai orang yang mengetuai kementerian ketika itu, beliau patut cakap “itu keputusan saya berdasarkan alasan-alasan tertentu”.

Anwar menegur pendaftaran STEM bermasalah. Sepatutnya perbaiki keadaan ini. Kita perlukan banyak tenaga kerja pakar dan sebagainya. Kita tiada ketika ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×