IMPIAN sejak kecil atlet boling negara, Tun Amerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam yang menempa nama di pentas dunia akhirnya tercapai setelah menjuarai Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah boling Malaysia.
Atlet kelahiran Ipoh, Perak itu tidak pernah menyangka akan meraih kejayaan yang gemilang dalam sukan yang diminatinya sejak kecil.
Dia yang lahir pada 11 Januari 1999, memulakan perjalanan bolingnya pada usia lima tahun di bawah bimbingan keluarganya yang juga mempunyai latar belakang dalam sukan.
Keluarganya menjadi sumber inspirasi Tun Amerul mengejar kejayaan dalam dunia boling.
Mengenangkan detik permulaan kariernya, anak bongsu dari empat beradik ini berkata, sukan boling bukan sahaja sekadar minat, malah ia merupakan satu warisan keluarga.
“Sejak kecil saya sudah terdedah dengan sukan ini. Ibu bapa saya memang meminati boling, jadi saya turut terikut. Bahkan, mereka juga merupakan pemain boling yang turut beraksi dalam kejohanan negeri,” katanya.
Bermula dalam pasukan negeri Perak, Tun Amerul kemudian melangkah lebih jauh apabila menyertai pasukan kebangsaan pada usia 15 tahun.
Bintangnya semakin menyerlah pada 2014 apabila meraih pingat emas dalam Kejohanan Dunia Boling Beregu di Hong Kong.
Lebih manis, kejayaan terbesar itu datang pada awal 2025 apabila memenangi pingat emas dalam Kejohanan Dunia dan terbaharu menjadi rakyat Malaysia pertama menjuarai jelajah PBA.
Keberhasilan ini bukanlah datang secara mudah. Tun Amerul mengakui setiap kejayaan memerlukan pengorbanan yang besar.
“Sebagai atlet, kita perlu berkorban banyak perkara. Saya sentiasa berlatih keras, terutama ketika berada di luar negara. Memang banyak masa yang terpaksa saya korbankan bersama keluarga terutama sekali bersama isteri,” katanya.
Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi adalah persaingan sengit di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam Kejohanan PBA.
Walaupun dilihat sebagai pertandingan yang sukar, dengan kehadiran lebih 200 atlet boling profesional dari seluruh dunia, Tun Amerul tetap optimis.
“Memang tidak mudah untuk memenangi PBA kerana persaingannya sangat hebat. Tetapi dengan latihan yang tekun dan strategi yang betul, saya dapat mencapainya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sokongan sepanjang karier, dia tidak lupa menyebut pengorbanan keluarganya, terutamanya isteri yang setia memberikan sokongan moral dan fizikal.
“Isteri saya banyak memberi semangat, bahkan sanggup bangun seawal pukul 2 pagi untuk menyaksikan saya bertanding dalam siaran langsung. Tanpa sokongan mereka, saya mungkin tidak berada di sini,” katanya.
Sungguhpun Tun Amerul telah mencatatkan kejayaan gemilang, impian dan harapan untuk membawa boling Malaysia ke tahap yang lebih tinggi masih belum selesai. – UTUSAN
BIODATA
Nama: Tun Amerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam
Tarikh lahir: 17 Januari 1997
Asal: Ipoh, Perak
Pendidikan: SMK Damansara Utama
Pencapaian:
Pingat emas acara beregu Kejohanan dunia Hong Kong 2018
Pingat emas kejohanan berpasukan dunia Hong Kong 2024
Pingat gangsa acara beregu Sukan SEA Filipina 2019
Pingat emas acara beregu kejohanan Asia di Hong Kong 2023
Juara Terbuka Hong kong 2023
Tempat ketiga Terbuka Qatar 2024
Pingat emas kejohanan dunia 2025,
Juara PBA 2025










