UMNO semakin ‘pupus’ di Kedah - Utusan Malaysia

UMNO semakin ‘pupus’ di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TSUNAMI politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun 2018 telah merubah landskap politik negara secara drastik yang kesannya ketara hingga ke hari ini.

Walaupun ia datang dengan aman dan tenang, namun kesannya cukup dramatik apabila pada malam diumumkan keputusan pilihan raya itu, satu demi satu kerusi yang disandang oleh Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO tumbang.

Ibarat hadirnya tsunami, tenang dahulu sebelum gelombang besar melanda, itulah yang berlaku pada 9 Mei 2018. Parti yang memerintah selama lebih 60 tahun tumbang dan hanyut dilanda gelombang pilihan rakyat.

Siapa sangka BN yang begitu gah akhir hanya menang 72 kerusi tewas kepada Pakatan Harapan (PH) gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta Parti Warisan Sabah (Warisan) telah menyapu 122 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan. Pas pula yang bertanding secara solo menang 18 kerusi.

Seperti mana yang digambar oleh Junaidi Awang Besar dalam kajiannya bertajuk Perubahan politik dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, 2018 di Malaysia yang disiarkan dalam Malaysian Journal of Society and Space Isu Ke 15” keputusan PRU 2018 yang dilihat ‘luar biasa’ ini menunjukkan bahawa wujudnya satu ‘gelombang’ atau kebangkitan rakyat/pengundi yang dilihat sebagai silent voters telah meranapkan penguasaan BN terhadap Kerajaan Malaysia sejak 63 tahun yang lalu.’

Keputusan PRU14 itu terus memberi kesan kepada politik negara hingga ke hari ini. Buat pertama kali dalam sejarah negara dalam tempoh satu penggal menyaksikan tiga Perdana Menteri Besar dan empat Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun.

Ia juga menyaksikan kebangkitan kuasa politik baharu iaitu Perikatan Nasional (PN) gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, yang pernah memerintah negara sekejap bersama UMNO/BN dan diterajui oleh dua Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Walaupun kedua-dua adalah berasal-usulkan UMNO, tetapi mereka naik atas gelombang yang berbeza.

Pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15), gelombang PN hampir menyebabkan politik negara sekali dilanda kejutan apabila mereka menang 74 kerusi, hanya lapan kerusi kurang daripada PH. UMNO/BN hanya menang 30 kerusi dan selepas itu enam ahli Parlimen lompat parti menyertai Bersatu. Ini menyebabkan UMNO yang paling nazak dalam kalangan semua parti utama yang bertanding.

Gelombang PN itu jelas dalam pilihan raya negeri apabila mereka menguasai empat negeri iaitu dua di utara dan dua lagi di pantai timur. Mereka juga memastikan UMNO/BN langsung tidak mempunyai wakil dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Perlis dan Terengganu. Kelantan yang merupakan kubu kuat Pas pun ada satu wakil BN di DUN iaitu Galas dan kemudian dua selepas menang pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri.

Tiga daripada empat negeri ini adalah kubu kuat UMNO iaitu Kedah, Perlis dan Terengganu. Di Kedah terutamanya, walaupun bersilih ganti tukar kerajaan antara UMNO dan Pas, tetapi ia tidak pernah berlaku UMNO kalah di semua kerusi. Paling banyak pun sebelum ini hanya berbeza dua tidak kerusi.
Tetapi pada PRN 2023, tidak ada satu pun kerusi DUN dimenangi oleh parti Melayu itu di Kedah.

Di peringkat nasional UMNO masih lagi dalam 24 kerusi Parlimen dan menjadi kerajaan di empat negeri iaitu Johor, Melaka, Pahang dan Perak, tetapi di Kedah ada mengibaratkan UMNO sudah mati atau pupus kerana langsung tidak wakil di DUN dan Parlimen buat pertama kali dalam sejarah.

Secara zahirnya, buat masa ini UMNO telah ditinggalkan oleh Melayu Kedah. Jika paten ini berterusan maka tidak mustahil jenama UMNO akan pupus di negeri Jelapang Padi itu.

Ini turut diakui oleh Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin bahawa ketika ini BN-PH belum mampu untuk menumbangkan kerajaan PN pimpinan Datuk Seri Mohamad Sanusi Md. Nor.

Katanya, selepas kalah teruk, sokongan pengundi Kedah kepada UMNO/BN menunjukkan peningkatan selepas kalah teruk pada 2023, tetapi belum cukup kuat untuk merampas Kedah.

Satu lagi persoalan yang perlu ditanya oleh kalangan kepimpinan UMNO Kedah adalah siapa yang mampu untuk memimpin mereka bagi merealisasikan ‘kebangkitan’ seperti apa yang dikatakan oleh Shaiful Hazizy ini?

Siapa pemimpin UMNO di Kedah yang benar-benar berkaliber yang apabila namanya disebut akan timbul aura untuk rakyat kembali memberi sokongan?

Apakah Datuk Seri Mahdzir Khalid yang kembali menjadi menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah untuk tempoh 2023-2026 mampu mengembalikan aura UMNO di Kedah?

Pada PRU15, Mahdzir yang ketika itu adalah Naib Presiden UMNO tewas dengan majoriti hampir 11,000 kepada calon Pas di Parlimen Padang Terap yang merupakan kampung halaman beliau. Kemudian beliau sekali tewas ketika bertanding di DUN Pedu.

Adakah ini petanda pengundi Kedah menolak parti atau pemimpin atau kedua-dua sekali?
Ketika Pas ada barisan kepimpinan muda seperti Sanusi, Datuk Ahmad Yahya (Bekas Ketua Dewan Ulama kini Pesuruhjaya Pas Kedah) dan Afnan Hamimi Taib Azamudden (Ahli Parlimen Alor Setar) serta disokong pula oleh personaliti seperti Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtiar, UMNO masih lagi bergantung kepada muka lama yang sudah berkali-kali ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya.

Walaupun Mahdzir pernah berkata, UMNO Kedah masih utuh, tidak ada cawangan yang dibubarkan tetapi apakah faktor ‘wow’ yang ada dalam kalangan pemimpinnya untuk menarik sokongan pengundi?

Siapa pemimpin muda UMNO kedah yang orang kenal? Yang boleh menandingi aura pemimpin Pas. Kalau tidak boleh tandingi aura Sanusi pun sekurang-kurangnya boleh tandingi aura Radhi dan Baddrol?

UMNO Kedah kena hidup dalam realiti bahawa mereka kini diambang kepupusan dan langsung tidak menyumbang kepada Kerajaan Perpaduan. Jika tidak ada usaha drastik, terutama dalam menonjolkan pemimpin berkaliber tidak mustahil jenama UMNO akan lenyap dari ingatan majorit rakyat Kedah.

Mampukah ia hanya bergantung kepada pemimpin kitar semula tanpa menonjolkan bakat-bakat muda yang diterima rakyat?

Yang pasti kini, PN selesa memerintah Kedah dengan aman damai tanpa ada sebarang tekanan daripada pembangkang. Rakyat juga kelihatan semakin selesa dengan mereka.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×