PETALING JAYA: Peluang melanjutkan kerjaya ke peringkat lebih tinggi serta tawaran gaji yang lebih lumayan di luar negara merupakan antara faktor utama tenaga mahir Malaysia memilih untuk berhijrah.
Faktor tersebut menyebabkan lebih 280,000 bakat tempatan berhijrah ke luar negara, yang antara penghijrahan tertinggi adalah ke Australia (138,363 orang), Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (UK) (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang).
Saintis klinikal perubatan kardiovaskular di UK, Prof. Dr. Masliza Mahmod berkata, beliau meninggalkan Malaysia 15 tahun lalu kerana bidangnya pada ketika itu tidak wujud di dalam negara.
Beliau yang kini berkeja di sebuah syarikat teknologi kesihatan di Oxford berkata, dirinya ditawarkan dengan gaji dan faedah yang kompetitif, selain suasana serta budaya kerja yang sangat baik.
“Jawatan saya terkini adalah Ketua Perubatan Sains Kardiovaskular bertanggungjawab untuk menyumbang kepakaran serta menyelia program penyelidikan dan pembangunan klinikal syarikat untuk memastikan pengeluaran teknologi perubatan yang berjaya.
“Sebagai penyelidik klinikal, matlamat utama saya adalah untuk meningkatkan penjagaan kesihatan pesakit jantung.
“Dalam tugas ini, saya dapat menggunakan pengalaman klinikal dan penyelidikan saya serta mengkomersialkan kemahiran saintifik diri dan bekerjasama rapat dengan pasukan perniagaan syarikat dan juga di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, data dikeluarkan dalam satu kajian TalentCorp dan Bank Dunia menunjukkan populasi diaspora Malaysia di empat negara utama terbabit dianggarkan berjumlah 281,429 orang.
Selain itu, berdasarkan Laporan Migrasi 2022 oleh Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) Malaysia mencatatkan kadar migrasi 5.6 peratus daripada populasi keseluruhan iaitu seramai 1.86 juta orang.
Menjawab soalan mengenai akan pulang ke tanah air, Dr. Masliza berkata, pada ketika ini kepakarannya masih lagi belum kukuh di dalam negara dan oleh itu keberadaannya di UK memberi manfaat yang lebih signifikan pada global termasuk Malaysia.
“Sebagai contoh, saya juga sudah membuka peluang pada Institut Jantung Negara (IJN) Malaysia untuk mengambil bahagian program penyelidikan syarikat global,” jelasnya.
Sementara itu, chef peribadi untuk Duta Malaysia di Jepun, Siti Safura Mohd Tawil mengakui bahawa bekerja di ‘Negara Matahari Terbit’ itu memberinya pengalaman dan pendapatan yang baik.
“Saya memilih untuk bekerja di Jepun kerana minat yang mendalam serta keinginan untuk memperoleh pengalaman kerja yang berbeza, terutamanya dari segi bahasa, budaya, dan etika kerja.
“Selain itu, bekerja di sini menawarkan faedah yang lebih baik, termasuk gaji yang kompetitif, kemudahan pekerja yang lengkap, serta peluang untuk mengembangkan kemahiran dalam persekitaran kerja yang disiplin dan berteknologi tinggi.
“Di samping itu, tanggungjawab yang besar membantu saya meningkatkan kemahiran kepimpinan dan profesionalisme dalam kerjaya,” katanya.
Siti Safura berkata, penghijrahan ke luar negara memberi peluang kepada bakat tempatan memperolehi pengalaman baharu selain menimba lebih banyak ilmu.
“Pengalaman ini bukan sahaja dapat memperkaya pengetahuan kami, tetapi juga membentuk jati diri dan kemahiran yang berguna untuk masa depan serta peluang berkongsi ilmu dan nilai yang diperoleh sebelum kembali berkhidmat dan menabur bakti kepada negara apabila tiba masanya nanti,” katanya.











